NAJIB Razak malam ini memberi amaran kepada penduduk Sabah yang pembangunan dirancang oleh Barisan Nasional (BN) di negeri ini menjadi sia-sia jika pembangkang mengambil alih.
“Jalan kita masih panjang (untuk membangunkan Sabah). Perancangan kami termasuk projek-projek ekopelancongan,” katanya kepada 6,000 penyokong Kadazandusun Murut di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Penampang.
“Sebahagian besar pelancong yang datang ke Sabah berasal dari China. Pelancongan (industri) kita akan berdepan masalah sekiranya pembangkang mengambil alih, kerana perdana menteri pilihan Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad, akan membatalkan semua kontrak yang diberikan kepada kita oleh China.
“Ini bermakna rancangan kami untuk membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, untuk menarik lebih banyak pelancong, akan jadi gajah putih.”
Turut hadir Pengerusi BN Sabah Musa Aman; Presiden Persatuan Pasokmomogun Kadazandusun Murut, WIlfred Madius Tangau; Presiden Parti Bersatu Sabah, Joseph Pairin Kitingan; dan calon BN Caesar Mandela Malakun (Penampang), Francis Goh (Kapayan) dan Donald Mojuntin (Moyog).
Najib juga berjanji BN akan mengembalikan hak istimewa negeri itu mengikut Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau menyindir Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad, sambil berkata bekas perdana menteri itu masih belum melawat Sabah.
Pengerusi BN itu berjanji menubuhkan unit hal ehwal bukan Islam untuk menangani perkara antara agama, dan program perintis sekolah menengah berbahasa Inggeris akan diwujudkan jika BN mendapat mandat baru pada PRU14. -– 6 Mei, 2018.
Komen