BN lebih banyak buat berita palsu, kata Daim


The Malaysian Insight

AHLI Umno yang dipecat Daim Zainuddin mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih banyak membuat berita palsu berbanding Pakatan Harapan (PH).

Memberi contoh perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), bekas menteri kewangan itu berkata rakyat pernah dimomokkan harga barang akan turun jika ia dilaksanakan.

“GST. Goverment Suka Tipu. Bukan saya kata, Ahmad Maslan (bekas timbalan menteri kewangan) yang kata, sebab dia kata kalau ada GST harga barang semua turun.

“Ini semua berita palsu. Dia kata kita banyak buat berita palsu padahal mereka (kerajaan) yang buat berita palsu,” katanya dihadapan ribuan hadirin di Ceramah Mega Pakatan Harapan di padang AU2, Taman Keramat, Gombak malam ini.

Daim mengulas kenyataan Ahmad sebelum ini yang pernah mengatakan harga barang akan turun selepas pelaksanaan GST pada April 2015.

Beliau dalam pada itu menyeru kepada masyarakat menukar kerajaan bagi masa depan yang lebih terjamin.

“Pada 9hb Mei ini, Malaysia boleh tukar kerajaan. Kita mahu kerajaan PH,” katanya lagi.

Daim, pimpinan veteran Umno dizaman Dr Mahathir Mohamad itu turut sama membantu PH berkempen di seluruh Malaysia.

Selain beliau, bekas ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz turut berada di pentas ceramah menyokong PH. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen