Sektor 3D masih perlu pekerja asing, majikan PKS beritahu Rafizi


Alfian Z.M. Tahir

Pekerja asing masih diperlukan terutamanya dalam sektor tertentu yang tidak diminati rakyat tempatan, menurut pengusaha PKS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2023.

PENGUSAHA Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak yakin dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing mulai tahun depan, seperti yang diumum Menteri Ekonomi Rafizi Ramli minggu lalu.

Para majikan ini berkata ini kerana pekerja asing masih diperlukan terutamanya dalam sektor tertentu yang tidak diminati rakyat tempatan.

Penasihat Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Johor Selatan Teh Kee Sin memberitahu The Malaysian Insight, meski usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tidak mustahil boleh dilaksanakan namun ia bukanlah mudah.

Beliau memberi contoh sektor 3D (kotor, sukar dan bahaya) yang masih gagal menarik minat pekerja tempatan, termasuk bekerja di restoran.

“Pertama sekali, menteri kena tahu mengapa majikan, terutamanya PKS, ambil pekerja asing. Apabila kita bercakap tentang pekerja asing, sudah tentu ia berkenaan pekerjaan kotor, berbahaya dan sukar, yang semua orang sedia maklum tidak diminati oleh rakyat tempatan.

“Rakyat kita tak mahu buat kerja-kerja ini. Oleh itu, majikan terpaksa upah pekerja asing. Misalnya, berapa ramai rakyat tempatan yang mahu bekerja sebagai pencuci pinggan di restoran? Kebanyakan pekerja ini adalah warga Myanmar atau Nepal,” kata Teh.

Tambahnya, sasaran Rafizi itu tidak semudah seperti yang dibayangkan.

“Kita perlu lihat situasi sebenar. Kita mahu guna teknologi tinggi, robotik atau kecerdasan buatan tetapi pada masa yang sama sektor 3D masih ada. Siapa yang akan buat kerja-kerja 3D ini?”

Teh dalam pada itu berkata kos upah antara faktor mengapa majikan lebih memilih untuk mengupah pekerja asing.

“Kalau kita bergantung hanya kepada pekerja tempatan majikan mungkin perlu membayar gaji yang lebih tinggi. Adakah kelak kita boleh bersaing dengan negara jiran dari segi menarik pelaburan pangsung asing?

“Pelabur asing mungkin akan beralih ke negara-negara lain yang boleh menawarkan kos upah yang lebih rendah,” jelasnya.

Minggu lalu, Rafizi berkata kerajaan akan mempergiatkan pembaharuan pasaran buruh negara pada 2024, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Rafizi bagaimanapun berkata kerajaan akan menetapkan tempoh dan melaksanakan sistem yang sewajarnya untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

“Kepada majikan di luar, ia (pembaharuan pasaran buruh) akan dilaksanakan. Bagaimanapun, saya tidak yakin bahawa mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing akan berlaku dengan hanya satu arahan.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah membina sistem sokongan terlebih dahulu,” kata menteri ekonomi itu pada program Sembang Santai Ekonomi sempena Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di Stadium Bukit Jalil, Jumaat lepas. – 12 Disember, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen