Pakatan boleh tawan Kedah jika pengundi luar negeri pulang, kata Mukhriz


The Malaysian Insight

BEKAS menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir malam ini mendesak penduduk Kedah yang tinggal di luar negeri kembali mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Rabu ini.

Beliau berkata negeri utara sudah bersedia untuk diambil alih oleh PH dan bantuan pengundi di luar negeri akan menyebabkan peralihan kepada pihak pembangkang.

“Saya tahu terdapat ramai orang Kedah di Lembah Klang, mungkin beribu-ribu orang Kedah di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan bahkan Singapura.

“Saya merayu kepada semua orang Kedah untuk kembali berduyun-duyun mengundi PH di negeri anda,” katanya kepada kira-kira 5,000 penyokong di ceramah besar pakatan pembangkang di Taman Keramat, Gombak.

Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang pemberian yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN), terutama pada hari-hari terakhir sebelum pilihan raya umum.

“Rakyat bersedia menerima kehadiran kami, untuk membawa perubahan bukan sahaja di Kedah tetapi seluruh negara.

“Kita tidak boleh kehilangan momentum atau semangat (kita) pada hari-hari terakhir kerana pelbagai jenis rasuah akan datang kepada anda.

“Ini adalah untuk mengalih perhatian kita daripada isu sebenar seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Mukhriz juga menyentuh taktik BN menggunakan retorik perkauman untuk menimbulkan rasa takut di kalangan pengundi Melayu di kawasan luar bandar.

“Mereka terus mengatakan DAP akan berkuasa dan Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri walaupun PH mengumumkan perdana menteri kita adalah Dr Mahathir dan calon kita untuk timbalan perdana menteri wanita pertama Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen