Turkiye lulus permohonan Sweden sertai Nato jika AS hantar F-16S


Pada awal Disember, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata AS menghantar F-16 ke Greece tetapi tidak membekalkannya kepada Turkiye walaupun pada hakikatnya Ankara sudah membayar. – Gambar EPA, 11 Disember, 2023.

TURKIYE berkemungkinan akan meluluskan keanggotaan Sweden dalam Nato jika Amerika Syarikat (AS) mengotakan janjinya berhubung penghantaran jet pejuang F-16 ke Ankara, Sputnik memetik laporan akhbar Turkiye Hurriyet pada Isnin.

Pada awal Disember, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata AS menghantar F-16 ke Greece tetapi tidak membekalkannya kepada Turkiye walaupun pada hakikatnya Ankara telah membayar untuknya.

Penghantaran jet pejuang F-16 ke Ankara menjadi rumit, bukan disebabkan pendirian Turkiye terhadap permohonan Sweden, sebaliknya berpunca daripada isu ketidakpercayaan Washington, lapor Hurriyet. Jika wujud kepercayaan, laluan Sweden ke dalam pakatan itu akan lebih mudah, menurut laporan itu.

Pada April 2021, AS mengecualikan Turkiye daripada program F-35 selepas Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 Rusia. Erdogan kemudiannya berkata Washington sebaliknya menawarkan Ankara membeli jet F-16, pesawat satu generasi kebelakang daripada F-35.

Bagaimanapun, perjanjian itu memerlukan kelulusan Kongres AS, dengan kebanyakan ahli parlimen menentang keras inisiatif itu khususnya disebabkan kedudukan Turkiye dalam bidaan Nato Sweden.

Pada Julai 2022, Dewan Perwakilan AS menerima pindaan belanjawan pertahanan yang melarang penjualan F-16 kepada Turkiye selagi Turkiye melanggar ruang udara Greece.

Sweden dan Finland menyerahkan permohonan Nato mereka pada Mei 2022, beberapa bulan selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine.

Finland diterima menjadi ahli perikatan itu pada April 2023. Selain Turkiye, permohonan Sweden masih menunggu pengesahan oleh Hungary. – Bernama, 11 Disember 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen