Agong dukacita tindakan AS guna kuasa veto resolusi gencatan senjata di Gaza


Konflik di Gaza sehingga kini mengorbankan lebih 17,000 rakyat Palestin dengan kira-kira 70% melibatkan kanak-kanak dan wanita, manakala lebih 48,000 yang lain cedera. – Gambar AFP, 11 Disember, 2023.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa gencatan senjata antara rejim Zionis Israel dan Palestin, baru-baru ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Zahari Mohd Ariffin berkata tindakan AS itu sekali gus menggagalkan usaha UNSC mencari jalan penyelesaian konflik tersebut yang sehingga kini mengorbankan lebih 17,000 rakyat Palestin dengan kira-kira 70% melibatkan kanak-kanak dan wanita, manakala lebih 48,000 yang lain cedera.

“Tindakan tersebut juga seolah-olah menghalalkan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dengan pembunuhan lebih ramai orang awam dan kemusnahan harta benda, fasiliti serta kemudahan perubatan di Gaza,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Seri Paduka turut menzahirkan sokongan kepada pendirian kerajaan menerusi kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Zambry Abdul Kadir yang membantah dan mengecam tindakan AS terhadap resolusi yang dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu itu.

Al-Sultan Abdullah juga menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar konflik rejim Zionis Israel-Palestin itu dapat dihentikan dengan segera serta rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel,” katanya.

Zahari berkata Seri Paduka turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam untuk terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin.

UNSC yang dianggotai 15 ahli, gagal meluluskan draf resolusi untuk mendesak gencatan senjata kemanusiaan di Gaza pada Jumaat lepas selepas AS menggunakan kuasa veto.

Resolusi itu disokong 13 ahli UNSC manakala United Kingdom (UK) memilih untuk berkecuali. – Bernama, 11 Disember 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen