Calon DAP Pahang dedah dibenarkan masuk pusat penamaan tanpa pas


The Malaysian Insight

CALON DAP di Tanah Rata, Chiong Yoke Kong, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis membenarkan beliau memasuki pusat pencalonan untuk memfailkan pencalonannya walaupun tanpa pas calon pada hari penamaan calon.

“Saya hanya mendapat pas calon saya pada hari pencalonan. Saya memberitahu polis saya sudah membayar deposit dan dibenarkan masuk.

“Jadi kenapa calon PKR di Negeri Sembilan (Dr S Streram) dihalang oleh polis daripada memasuki pusat penamaan calon?” kata Chiong semasa ceramah di Teluk Intan malam ini.

Chiong berkata sikap berat sebelah itu menunjukkan SPR dan polis di Negeri Sembilan tidak jujur.

“Ini adalah taktik mereka yang kotor untuk melemahkan semangat PH,” katanya.

“Setiap warganegara berhak bertanding dalam pilihan raya.”

Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan memenangi kerusi DUN Rantau tanpa bertanding apabila Dr S Streram dinafikan daripada memasuki dewan semasa hari pencalonan kerana tidak mempunyai pas calon.

Dr Streram dan pemimpin PH, terutamanya Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, memprotes kejadian itu.

Rafizi mendakwa pegawai SPR yang menyekat Dr Streram daripada memasuki pusat penamaan calon adalah seorang Pemuda Umno di Rembau.

Rantau adalah kerusi negeri di bawah kawasan Parlimen Rembau, yang disandang Khairy Jamaluddin. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen