PENGGUNA Twitter mengecam timbalan menteri dalam negeri sementara Nur Jazlan Mohamed kerana mengatakan undi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara tidak penting.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pulai, Johor itu menulis tweet awal hari ini yang jumlah pengundi Malaysia di luar negara terlalu kecil untuk mengubah sebarang keputusan, menerima kritikan hebat daripada pengguna media sosial apabila tweet itu dikongsi secara meluas.
“Jumlah rakyat Malaysia yang mengundi di luar negara kurang 0.1% daripada penduduk. Ia tidak akan mengubah sebarang keputusan. Jangan terlebih teruja,” katanya.
Ahli politik Umno itu memberi respons daripada tweet seorang pengguna Dhirenn yang bertanya: “Boleh ulas mengenai situasi proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara?”
Hampir 4,000 Malaysia di luar negara layak untuk mengundi pos, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tetapi dengan hanya dua hari sebelum hari pengundian, ramai yang tinggal di London, Australia dan lokasi lain di luar Asia masih belum menerima kertas undi mereka di bawah sistem baru SPR yang menghendaki mereka menghantar pulang kertas undi ke Malaysia dengan perbelanjaan sendiri. Kertas undi berkenaan perlu sampai kepada pegawai pemilih di kawasan pilihan raya para pengundi berkenaan pada jam 5 petang Rabu ini.
Nur Jazlan dikecam kerana tweetnya, dengan beberapa pengguna Twitter menggunakan kata-kata kesat dan seorang yang memanggilnya sebagai “memalukan” kepada ayahnya, bekas menteri penerangan Mohamed Rahmat.
“Apa masalah awak? Ia bukan mengenai bilangan undi pos yang penting tetapi hak pengundi itu,” kata pengguna Aruna.
“Walaupun hanya seorang pengundi luar negara, ia penting. Sikap seperti ini yang menjadikan rakyat bosan,” kata seorang pengguna bernama Stokey.
Pengguna Qaisley Jaslenda menggambarkan tweet Nur Jazlan sebagai “menjijikkan”. “Tidak dapat diterima mendengar kenyataan seperti itu yang datang daripada timbalan menteri dalam negeri,” katanya. – 6 Mei, 2018.
Komen