KRISIS yang melanda Felda Global Ventures (FGV) perlu diselesaikan sebelum berakhirnya bulan Ramadan yang mulia, kata Perdana Menteri Najib Razak.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan agar krisis itu diselesaikan dalam Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Felda Sayong, Bandar Tenggara, Johor hari ini.
Najib berkata penyelesaian untuk menamatkan krisis syarikat awam yang tersenarai itu perlulah berdasarkan tiga teras.
“Keputusan akhir perlu berpegang kepada akta syarikat, tadbir urus yang baik dan melalui proses yang adil,” katanya.
Saham FGV menjunam antara 20% hingga 30% pada pertengahan minggu ini selepas lembaga pengarah meminta Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad dan tiga yang lain bercuti sementara menunggu siasatan dalaman dijalankan ke atas urus niaga antara anak syarikat FGV Delima Oil Products Sdn Bhd dan sebuah syarikat Afghanistan serta penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas ketua pegawai eksekutif MAS Idris Jala dilantik oleh kerajaan untuk menyelia krisis dan membantu dalam menstabilkan harga saham.
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Felda Abdul Shahrir Samad dan Pengerusi FGV Isa Samad dan memutuskan melantik Idris untuk melancarkan siasatan ke atas apa yang berlaku,” kata beliau dalam ucapannya.
Terdahulu ucapan Najib terpaksa dihentikan secara tiba-tiba untuk memberikan laluan azan dan berbuka puasa.
Beliau meneruskan ucapan 30 minit kemudian dan mengumumkan pemberian kepada peneroka Felda serta penjawat awam untuk membantu mereka dalam membuat persediaan Hari Raya.
Beliau turut menyentuh mengenai isu FGV sebelum melaksanakan tarawikh bersama peneroka di masjid berdekatan. – 10 Jun, 2017.
Komen