Kit Siang bakal beri keterangan kepada polis berkaitan ucapan provokasi di UK


Veteran DAP Lim Kit Siang mengesahkan beliau akan memberi keterangan kepada polis berhubung ucapannya di Manchester di United Kingdom (UK) baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember 2023.

VETERAN DAP Lim Kit Siang mengesahkan beliau akan memberi keterangan kepada polis berhubung ucapannya di Manchester di United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Bekas ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sedang dalam siasatan polis berhubung ucapannya di mana beliau berkata Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Dalam pertemuannya dengan pelajar Malaysia di Manchester pada akhir bulan lepas, Lim berkata Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta dengan sembilan cabaran strategiknya menjanjikan Impian Malaysia yang meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya serta bukannya membawa kepada suatu impian untuk mana-mana satu etnik saja.

Bagaimanapun beliau turut mengakui tidak mungkin seorang bukan Melayu akan menjadi perdana menteri dalam tempoh 100 tahun akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Hasmuni Hassan adalah antara yang mengkritik Lim dan berkata kenyataannya menyakitkan hati orang Melayu.

“Saya dituduh membuat kenyataan provokasi apabila saya mengatakan Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri. Tiada niat sedemikian,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya beliau bersetuju dengan pengulas bahawa pada masa ini kenyataan seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri Malaysia adalah “kenyataan fakta” tetapi bukan “kenyataan realiti”.

Minggu lalu Lim mengesahkan polis memanggilnya untuk disoal siasat berhubung ucapannya di UK. – 11 Disember 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen