Hotel bajet tak untung pengecualian visa pelancong India, China, kata pengusaha


Noel Achariam

Pengusaha hotel bajet mengalami kerugian purata hingga 70% disebabkan SRTA ketika waktu puncak, kata pemain industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2023.

KEMASUKAN tanpa visa kepada pelancong India dan China akan menggalakkan lebih ramai pelancong ke negara ini tetapi ia tidak semestinya menguntungkan industri hotel bajet, kata pemain industri.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan itu amat baik.

Bagaimanapun katanya, hotel bajet di negara ini menghadapi saingan sengit daripada penyedia penginapan lain dalam menarik kehadiran pelancong.

“Isunya adalah sama ada pelancong ini akan menginap di hotel bajet.

“Kami percaya mereka akan memilih penginapan lain seperti penginapan sewa jangka pendek (STRA) termasuk kondominium, kediaman dan sewaan lain. Mereka tidak memilih untuk tinggal di hotel bajet.

“Kami menganggarkan ahli kami mengalami kerugian secara purata hingga 70% kerana STRA semasa waktu puncak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, STRA menyalahi undang-undang dan tidak terkawal selain mencuri pasaran mereka.

Ganesh berkata, platform tempahan dalam talian juga menawarkan penginapan haram itu di laman web mereka.

Pengusaha hotel bajet berpendapat penginapan sewa jangka pendek seperti homestay kebanyakannya beroperasi secara haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2023.

“Penginapan haram adalah perniagaan tanpa lesen, contohnya kondominium, kediaman dan lain-lain yang berada di bawah Airbnb.

“Jadi, mereka (pelancong) lebih suka penginapan seperti rumah ini berbanding tinggal di hotel.

“Oleh itu STRA jelas mencuri perniagaan kami. Kami rugi dalam perniagaan ini kerana kerajaan gagal mengawal STRA,” tegasnya.

Ganesh berkata, kerajaan berjanji untuk menyediakan garis panduan bagi mengawal penginapan jangka pendek haram tetapi ia masih belum dilaksanakan.

Beliau bagaimanapun memuji kerajaan Pulau Pinang kerana menjadi satu-satunya yang berjaya “menggoncangkan industri” dengan mengharamkan penginapan jangka pendek di kawasan perumahan.

Pada Mei lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang mengharamkan semua bentuk STRA, termasuk yang terdapat di Airbnb dan Booking.com di hartanah kediaman persendirian di pulau itu.

Dilaporkan jenis hartanah komersial tertentu dikecualikan tetapi mesti mendapat kelulusan untuk menawarkan STRA daripada perbadanan pengurusan masing-masing atau badan pengurusan bersama.

Ganesh percaya terdapat kira-kira 70,000 penginapan haram di seluruh negara. – 11 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen