MOKHZANI Mahathir mengingatkan penduduk Langkawi bahawa individu sebenar yang akan terus berkhidmat untuk mereka adalah Dr Mahathir Mohamad, yang berkhidmat di pulau itu sejak 1956.
Beliau berkata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak pernah meninggalkan rakyatnya dan akan terus berkhidmat untuk mereka selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Hari ini ramai yang datang ke Langkawi dan menabur pelbagai janji dan beri macam-macam.
“Tapi mereka akan hilang selepas 9 Mei (hari membuang undi).
“Tetapi Dr Mahathir akan sentiasa berkhidmat untuk anda semua seperti mana beliau berkhidmat buat pertama kali di Langkawi sebagai seorang doktor pada 1956,” katanya yang berkempen untuk ayahnya.
Pada 1954 Dr Mahathir ditugaskan ke Hospital Besar Alor Star sebelum dipindahkan ke klinik di Langkawi, Jitra dan Perlis.
Bekas perdana menteri itu bakal berdepan penyandangnya dari Barisan Nasional Nawawi Ahmad.
Mokhzani berkata Dr Mahathir tidak pernah merancang untuk kembali ke lapangan politik selepas sekian lama meninggalkannya.
“Rancangan untuk negara sudah kucar-kacir dan beliau mahu memperbetulkannya.
“Lelaki ini “anak Langkawi”. Tidak ada agenda tersembunyi. Beliau sejak dulu menjaga kebajikan rakyatnya,” katanya. – 6 Mei, 2018.
Komen