PAS akan hilang Kelantan kata bekas veteran Umno yang kini menyokong Pakatan Harapan Daim Zainuddin, yang ramalannya berhubung pilihan raya umum lepas menjadi kenyataan.
Dalam kempen di Kota Baru, bekas menteri kewangan itu berkata ini disebabkan kekeliruan antara ahli dan penyokong PAS berhubung pendirian presiden partinya Abdul Hadi Awang.
“Hadi mengaku bekerjasama dengan Umno. Ini kelirukan ahlinya,” Daim memberitahu pemberita di Chempaka, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Nik Omar, anak sulung ikon PAS Nik Aziz Nik Mat.
“Saya ramal yang mereka (PAS) akan hilang Kelantan,” kata Daim yang pernah meramal kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum 2008.
PAS, yang memerintah Kelantan selama 28 tahun, berhadapan kempen agresif daripada kedua-dua gabungan baru dan lama iaitu PH dan BN bagi merampas pentadbiran negeri tersebut.
Penganalisis berkata parti Islam itu kemungkinan akan kalah di negeri berkenaan disebabkan perselisihan antara penyokong dan ahlinya berhubung keputusan untuk bergerak sendiri dan meninggalkan bekas sekutunya iaitu PKR dan DAP.
PKR dan DAP adalah parti komponen PH, termasuk Amanah dan Bersatu.
PAS dicabar di kesemua sembilan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN yang dipegangnya di Kelantan. – 6 Mei, 2018.
Komen