Polis lihat sudut serangan seksual dalam kes pembunuhan Zayn


Alfian Z.M. Tahir

POLIS sedang menyiasat sama ada kanak-kanak autisme berusia enam tahun Zayn Rayyan Abdul Matiin diserang secara seksual sebelum dibunuh.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberitahu The Malaysian Insight bahawa anggotanya sedang meneliti perkara itu tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

“Insya-Allah kita akan mencari punca di sebalik pembunuhan ini,” kata Hussein.

Dalam sidang media sebelum ini, Hussein berkata penyiasat telah menemui bukti DNA dan cap jari dalam kes itu.

Beliau juga berkata polis akan menjalankan ujian DNA secara besar-besaran “termasuk terhadap kumpulan pesalah seks berdaftar”.

Semalam, pakaian yang dipakai Zayn ketika ditemui mati di sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Polis menjelaskan maklumat yang diterima setakat ini sangat terhad dan polis bekerja keras untuk mengumpul maklumat sementara menunggu keputusan analisis forensik daripada Jabatan Kimia.

Zayn ditemui mati di tepi sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya kira-kira 10 malam pada 6 Disember.

Mayatnya ditemui oleh anggota pasukan pencarian yang ditubuhkan untuk mencari budak lelaki itu, yang dilaporkan hilang pada petang 5 Disember.

Polis pada mulanya mengesyaki budak itu telah lemas, tetapi mengklasifikasikan semula siasatan mereka kepada pembunuhan selepas bedah siasat mendedahkan terdpaat kesan jerutan pada mangsa. – 10 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen