Saya belum terima sebarang surat dari Umno, kata Rais Yatim


The Malaysian Insight

VETERAN Umno Rais Yatim hari ini mendedahkan bahawa beliau tidak menerima sebarang surat daripada setiausaha agung Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung siasatan ke atasnya.

Penasihat kerajaan itu disiasat bagi menentukan sama ada beliau telah bercakap menentang parti dan bersekongkol dengan pembangkang. Beliau menyuarakan kritikan terhadap Umno dan kerajaan di bawah pentadbiran perdana menteri sementara Najib Razak.

“Surat daripada setiausaha agung saya tidak terima, walaupun beliau mengumumkan telah menandatangan dan menyerahkan kepada saya,” katanya kepada pemberita di Bangsar hari ini.

Rais berkata beliau mendengar tentang berita tersebut menerusi media sosial dan syarikat media tertentu.

“Saya berasa pelik, oleh kerana proses ini biasanya ada surat tunjuk sebab. Jadi saya tidak ada terima surat itu.”

Bekas menteri tersebut berkata beliau akan menerima keputusan parti jika benar beliau dipecat, selagi mana ia mengikut proses sewajarnya.

“Sekiranya saya didapati tidak layak lagi dalam Umno, dan diputuskan oleh jawatankuasa atau panel, saya terima dengan hati terbuka.

“Tetapi, saya kira mesti ada proses bela diri dan apa yang sebenarnya didakwakan terhadap saya,” kata Rais.

Bekas menteri Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin baru-baru ini dipecat daripada Umno kerana secara terbuka menyokong Pakatan Harapan dan menghadiri ceramah mereka. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen