Penduduk Batu marah sikap 'jengkel' SPR 


The Malaysian Insight

TINDAKAN Suruhanya Pilihan Raya (SPR) meremehkan PKR seperti tidak berpenghujung, kata pengundi Batu hari ini.

Mengakui masih bingung dengan tindakan “menyalahi undang-undang” SPR menyebabkan calon Batu Chua Tian Chang (Tian Chua) hilang kelayakan bertanding, penduduk kini bingung pula dengan tindakan agensi itu membuang bendera dan kain rentang PKR di banyak kawasan di sini.

Dua pengundi semalam merakamkan aksi pegawai SPR dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuang bahan pilihan raya PKR.

Abdul Aziz, yang ketika itu memandu melepasi Masjid Al-Hidayah di Sentul, berhenti dan bertanyakan pegawai siapa yang memberikan mereka kuasa untuk membuang bendera tersebut.

“Pegawai itu berkata kepada saya memandangkan Tian Chua, yang merupakan naib presiden PKR, tidak bertanding di Batu, mereka perlu membuang segala bendera dan kain rentang.

“Saya memberitahu mereka yang bendera dan kain rentang itu tidak tercetak gambar Tian Chua.

“Saya turut memberitahu mereka yang PKR masih bertanding dalam PRU14 dan parti itu berhak untuk meletakkan bendera itu di mana-mana pun.

“Jika hujah mereka adalah ‘Tian Chua’ tidak bertanding di Batu, bagaimana pula dengan Tengku Adnan (Tengku Mansor) dari BN yang gambarnya dinaikkan di Batu?” kata Aziz.

Ahli Perniagaan itu berkata apabila dia mengajukan lagi soalan, mereka memberi tahu dia yang mereka hanya bertindak mengikut arahan pengurus bertugas (RO), tetapi tidak boleh menamakannya.

Lelaki berusia 46 tahun dan menetap di Sentul hampir sepanjang hidupnya, berkata dia tidak pernah melihat SPR begitu menjengkelkan.

Seorang lagi pengundi, Iruthayarah Moniandy, turut merakamkan aksi pegawai SPR dan DBKL menurunkan bendera dan kain rentang PKR di beberapa kawasan di daerah tersebut.

“Kalau saya ini orang ternama, saya akan keluar dari kereta dan hentikan mereka secara fizikal,” katanya yang berusia 31 tahun, sambil menambah yang dia marah dengan SPR.

Batu mempunyai 76,328 pengundi dengan 42.52% daripadanya adalah kaum Melayu, manakala Cina 38.28% dan India 17.46%.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Tian Chua berjaya mempertahankan kerusinya dengan kelebihan 13,284 undi. Beliau bagaimanapun hilang kelayakan bertanding dalam PRU kali ini.

Kerusi Batu bakal menyaksikan persaingan empat penjuru antara Barisan Nasional yang diwakili Dominic Lau Chai Hoe, Azhar Yahya PAS, dan dua calon bebas iaitu Prabakaran dan V. M. Panjamothy.

Mohd Amiruddin Abdul Kadir, seorang lagi pengundi, lebih tajam dalam responsnya.

“Apa yang ditakutkan sangat SPR? Mereka sangat efisyen kalau bertindak terhadap pembangkang.

“Ia hanya bendera, kenapa kamu takut jika PKR menang kamu tak dapat ‘hadiah’?” katanya berang.

Mengulas rakaman video bendera dan kain rentang PKR diturunkan, Amiruddin berkata beliau jijik dengan sikap dwi-standard yang ditunjukkan SPR.

“Banyak gula-gula pilihan raya diberikan oleh BN, yang ternyata salah. Kenapa tak tangkap mereka? Dah tak ada kerja lain ke nak turunkan bendera dan kain rentang,” kata Amiruddin yang berusia 36 tahun itu.

Amiruddin turut sempat memberikan respons mengenai calon bebas Prabakaran.

“Dia nampak seperti lelaki yang baik. Tidak kisah jika dia muda dan perlu belajar banyak perkara, asalkan dia mahu, saya akan undi dia,” kata Amiruddin.

Seorang lagi penduduk Batu Faez Fikri, 42, turut menempelak SPR dengan berkata yang beliau akan dalam keadaan berjaga-jaga jika mereka terus menurunkan bendera dan kain rentang PKR.

“Saya akan rakam dan muat naik. Saya mahu rakyat tahu apa yang SPR boleh lakukan,” katanya. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen