IA bakal menjadi pertarungan sengit di Teluk Intan di antara Presiden Gerakan Mah Siew Keong dan Ketua DAP Perak Nga Kor Ming, yang menyaksikan kedua-duanya mempunyai penyokong setia di bandar yang terkenal dengan menara condong.
Dilahir dan dibesarkan di Teluk Intan, Mah sangat disayangi penduduk di situ, yang berterima kasih kepadanya kerana berjaya menyelesaikan isu-isu tempatan, seperti banjir, dan membawa pembangunan infrastruktur.
Penyokongnya bercerita mengenai kampus universiti yang sedang dalam pembinaan dan jalan keluar ke Lebuhraya Pantai Barat, dari Taiping ke Banting, sebagai antara pencapaian penyandang.
Jururawat bersara Tham Fee Kim mula berkempen untuk Mah sebelum hari penamaan calon.
“Beliau (Mah) sangat baik. Jika beliau menang, beliau akan dapat memastikan projek-projek itu selesai,” katanya yang berusia 61 tahun itu.
Tham dan kawan-kawannya mengiringi Mah ke majlis makan tengah hari bersama 500 penduduk di Kg Baru Batu 12 tengahari tadi.
Penduduk kampung, Foo Don Hoe, 59, yang merupakan ahli Gerakan, berkata beliau akan mengundi Mah tidak kira apa pun.
“Saya tidak akan berubah (undi saya).”
Kedua-dua pengundi, bagaimanapun berkata, imej negatif perdana menteri sementara Najib Razak tidak memberi kesan kepada calon pilihan mereka dalam pilihan raya 9 Mei ini.
Mah pertama kali memenangi kerusi Parlimen pada 1999 dan 2004. Pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, beliau kalah kepada calon DAP tetapi pada pilihan raya kecil 2014, beliau berjaya merampas kerusi itu dengan margin tipis sebanyak 238 undi.
Bagaimanapun, bagi mereka berpendapatan rendah, yang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, kemungkinan akan mengundi menentangnya.
D. Kannan, seorang pengimpal yang memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan, berkata beliau dan isterinya berharap PH akan menurunkan kos hidup.
“Kedua-dua anak saya masih belajar, jika harga barang turun, kita boleh menyimpan lebih untuk membeli tanah dan rumah sendiri,” katanya kepada Malaysia Decides.
“PH berkata mereka akan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan serta bayaran tol, dan menstabilkan harga petrol. Gaji minimum RM1,500 sangat besar. Saya sanggup memberi mereka lima tahun,” kata ahli PKR itu.
Beliau berkata kebanyakan orang India di kawasan itu bekerja sebagai pekerja ladang kelapa sawit, dengan pendapatan RM1,000 atau kurang.
“Kehidupan semakin sukar untuk mereka.”
Teluk Intan mempunyai 66,487 pengundi, terdiri daripada 41% orang Melayu, Cina (40%) dan India (19%).
Tham dan Kannan berkata kempen dari pintu ke pintu menunjukkan terdapat sokongan yang sama bagi Mah dan Nga di kalangan penduduk. – 6 Mei, 2018.
Komen