Selepas 4 tahun, pengaruh Nik Aziz terus jadi rebutan


The Malaysian Insight

SUDAH empat tahun mursyidul am PAS yang berpengaruh, Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia tetapi pengaruhnya masih wujud.

Hari ini, ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berbaki lagi dua hari, legasinya menjadi rebutan antara PAS dan parti serpihannya Amanah untuk bersaing merebut sokongan penyokong Nik Aziz.

Ketua Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Abdullah berkata tidak menafikan pengaruh Nik Aziz terutamanya di negeri pantai timur di mana beliau pernah menjadi menteri besar.

“Ya, pengaruh Tok Guru memang kekal sehingga sekarang,” katanya kepada Malaysia Decides.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad dihalang daripada melawat pusar Nik Aziz di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Anaknya Nik Adli, yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri bertindak menutup pintu di kawasan perkuburan sebelum kedatangannya.

“Ya, keluarga tak izinkan. Kalau beliau nak datang, boleh datang selepas pilihan raya umum,” kata Nik Adli.

Penganalisis politik Hisommuddin Bakar berkata anak sulung Nik Aziz, Nik Omar yang bertanding di kerusi DUN Chempaka di Kelantan memberikan momentum kepada PH.

Ini semua kerana faktor Nik Aziz, yang ingin dimiliki PH dan PAS.

“Kehadiran Nik Omar menghasilkan satu gelombang politik baru khasnya di kalangan pengundi luar Kelantan serta anak muda dan pengundi wanita yang selama ini senang dengan pendekatan Nik Aziz.

“Kalau ia berkekalan, gelombang balik mengundi ini boleh memecahkan harapan BN untuk mengambil alih Kelantan daripada PAS,” kata Hisommudin.

Bercakap di ceramah di Shah Alam pada 4 Mei, Nik Omar, yang menyertai Amanah berkata beliau sedang meneruskan legasi ayahnya.

Beliau sendiri melihat bagaimana bapanya berjuang dalam gerakan Islam dan politik serta yakin keputusan menyokong parti gabungan itu adalah paling tepat.

“Keluarga terdekat memang pada awalnya memberi tekanan dan memaksa seolah ambo (saya) keluar agama dan khianat perjuangan Tok Guru.

“Tetapi ambo adalah anak yang membawa legasi Tok Guru dan keyakinan itu kuat melihat pendekatan dibawa PH sama dengan apa dibawa ayahanda ambo,” kata Nik Omar. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen