KALANGAN penyokong dan petugas PAS mengakui kempen Nik Omar Nik Abdul Aziz untuk Pakatan Harapan (PH) memberi kesan kepada pengundi parti Islam itu.
Menurut jentera PAS ini, pengundi tertarik pada ketokohan ustaz muda itu dan juga legasi bapanya, ulama parti disegani, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Salah seorang daripadanya, Taufik Yusof, 34, berkata sebab itulah PH membawa Nik Omar ke seluruh negara dan bukan hanya berkempen di DUN Chempaka di Kelantan.
“Secara jujurnya ada kesan. Sebesar mana saya tak pasti sebab dia membawa aura Tok Guru Nik Aziz. Pendekatan Ustaz Nik Omar ini dikatakan membawa aura, membawa legasi Tok Guru, dengan cara dia yang lembut.
“Tetapi saya lihat itu cuma lebih kepada strategi PH,” kata Taufik yang mengetuai bilik gerakan PAS di Simpang Tiga, Gombak.
Mengulas lanjut mengenai pengaruh kempen Nik Omar itu, Taufik bagaimanapun berkata beliau yakin PAS akan tetap menang di kerusi DUN Gombak Setia.
Jelasnya, kerja keras dan pencapaian bekas Adun Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan menjadi kekuatan kepada PAS untuk mengekalkan kemenangan walaupun terdapat pertembungan tiga penjuru di peringkat DUN dan Parlimen.
Beliau juga berpendapat, PAS tidak harus terlalu banyak memainkan isu kenyataan ibu Nik Omar yang dikatakan tidak memberi restu untuk bertanding bawah PH.
“Walaupun isu anak derhaka ni sensitif dalam kalangan orang Melayu-Islam, tapi kita kena olah dengan baik juga. Kita cermat jugak dalam isu ini. Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man pun mengeluarkan satu kenyataan, kita jangan melampau sangat dalam isu ini,” katanya.
Namun Pengarah Pilihan Raya PAS Gombak Setia Mejar (Bersara),Wan pula berpendapat isu itu akan memberi kesan besar kerana menurutnya orang Melayu-Islam sangat sensitif dengan isu “anak derhaka”.
“Orang Melayu ada sentimen yang sangat mendalam antara ibu dan anak… PH tak ambil kira sensitiviti umat Islam dalam isu ini. Mereka terlampau ghairah untuk bawa anak Tok Guru Nik Aziz, sehingga terlupa sentimen yang amat besar,” kata Wan, 58.
Beliau juga menjangka Nik Omar tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi PAS, seperti mana yang berlaku apabila anak pemimpin PAS seperti Faiz Fadzil dan Mujahid Yusof Rawa menyertai Amanah.
Namun pengaruh Nik Omar itu didapati sudah meresap ke hati pengundi di situ. Seorang daripadanya, pengundi kerusi Gombak dan Gombak Setia, Razlan Ramli, berkata beliau tidak akan memberikan undi kepada PAS kali ini seperti PRU13 lalu.
“PAS tidak lagi bersama pasukan yang mempunyai potensi menggantikan BN seperti PH. Pembawaan Islam PAS juga keras dan tidak sesuai dengan rakyat Malaysia,” katanya.
DUN Gombak Setia merupakan antara kerusi yang dijangka akan dapat dirampas oleh PH dalan pilihan raya umum 9 Mei. Tinjauan terbaru oleh Institut Darul Ehsan (IDE) yang dibentangkan pada Jumaat, menunjukkan ia akan membolehkan PH memenangi Selangor walau dengan majoriti kecil berbanding PRU13.
Menurut badan pengkaji tersebut, BN pula dijangka akan meraih 24 kerusi DUN dalam PRU14, berbanding 12 pada PRU13. Ini disebabkan faktor pertembungan tiga penjuru dan persempadanan baharu dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kerusi DUN Gombak Setia ditandingi Muhammad Hilman Idham daripada PKR, Megat Zulkarnain Omardin daripada BN dan Hasbullah daripada PAS.
Pada PRU13, Hasbullah daripada PAS menewaskan calon BN Said Anuar Said Ahmad dengan majoriti 1681 undi. – 6 Mei, 2018.
Komen