RAFIDAH Aziz memberitahu rakyat Langkawi hari ini agar tidak “dibeli” oleh mereka yang datang membawa hadiah dan memberikan wang tunai untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Semasa lawatan pertamanya ke pulau itu bagi berkempen untuk Pakatan Harapan (PH), bekas menteri perdagangan dan industri itu berkata rakyat tidak boleh membiarkan “sampul surat” menentukan keputusan pilihan raya 9 Mei, merujuk kepada penggunaan sampul surat yang mengandungi wang, bertujuan mengambil hati pengundi.
“Sampul surat itu mungkin mengandungi RM100 atau lebih ... Saya tidak tahu, tetapi jangan berfikir jangka pendek, tetapi berfikir jangka panjang apabila memutuskan nasib negara.
“Tanyakan kepada diri anda dengan teliti mengenai kontraktor (parti) yang anda mahu berkhidmat kepada anda dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap di De Baron Resort di Kuah.
Bekas ketua Wanita Umno juga berkata sebelum ini Langkawi hebat, tetapi dalam tempoh 10 tahun yang lalu ia terhakis.
“Sebelum ini Pak Lah (bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi) dan syarikat, kemudian Najib dan syarikat (perdana menteri sementara Najib Razak).
“Rakyat Langkawi perlu memahami Barisan Nasional tidak menguasai kamu atau negara tetapi mereka mentadbirnya.
“Fikirkan masa depan anak-anak anda dan pilih kontraktor yang betul.”
Rafidah berkata beliau kini menyokong PH kerana gabungan itu mengetepikan perbezaan mereka untuk berkumpul demi menyelamatkan negara.
“Mereka pernah berlawan antara satu sama lain, tapi kini mereka bersama.
“Beri kontrak kepada PH (untuk mentadbir) kerana kita perlu mengembalikan negara pada landasannya semula.”
Rafidah mengikuti jelajah kempen di seluruh negara untuk menyokong calon PH.
Pada Jumaat, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pemecatan Rafidah dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin daripada Umno kerana mengeluarkan kenyataan menentang parti itu.
Umno juga menyiasat bekas menteri Rais Yatim, yang baru-baru ini mengkritik parti itu. – 6 Mei, 2018.
Komen