TIDAK ada seorang pun rakyat Malaysia berbangsa India atau Orang Asli harus memberi undi kepada Barisan Nasional (BN), kata peguam terkenal dan aktivis hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan hari ini, kerana gabungan pemerintah itu menurutnya gagal mengangkat isu yang dihadapi masyarakat terpinggir tersebut.
Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia itu menggesa pengundi daripada kumpulan tersebut untuk menghantar mesej yang jelas kepada BN yang menurutnya telah memperbaiki prestasinya namun dilihat masih “tidak mencukupi dan tidak ikhlas sepenuhnya”.
“Semakin hampir pilihan raya kita lihat pelbagai kerja dan rangka tindakan kaum India dilaksanakan. Tetapi statistik menunjukkan terdapat kebimbingan dan tertanya-tanya bagaimana mereka boleh membiarkan masyarakat India terjerumus dalam situasi drastik seperti yang kita lihat hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah bahawa usaha BN untuk masyarakat India kebanyakannya dilakukan sebelum tiba musim pilihan raya.
“Pada pandangan saya jika tiada mesej yang jelas disuarakan, rakyat Malaysia berbangsa India dan masyarakat terpinggir lain tidak akan dipandang serius.
“Mesej tersebut harus disuarakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menafikan undi kepada BN, dan mandat untuk mereka memerintah.
“Pada pandangan saya, tidak ada satu undi pun daripada rakyat Malaysia berbangsa India atau Orang Asli harus diberikan kepada Barisan Nasional,” kata Ambiga yang juga merupakan bekas pengerusi Bersih 2.0.
Menyenaraikan masalah yang dihadapi masyarakat India, Ambiga membangkitkan antaranya isu kaum India tidak bernegara yang tidak boleh mendapatkan kerakyatan walaupun dilahirkan di sini, kekurangan biasiswa dan tempat dalam universiti selain keadaan uzur sekolah Tamil.
Beliau turut membangkitkan mengenai kes bunuh dalam tahanan, yang turut melibatkan rakyat Malaysia berbangsa lain tetapi paling banyak membabitkan masyarakat India.
“Tidak ada usaha bersungguh-sungguh daripada BN untuk menyelesaikan masalah ini; ia adalah kebimbangan paling menekan masyarakat tersebut, tetapi BN tidak ambil peduli,” katanya.
Ambiga turut membangkitkan tentang peratusan tinggi kaum India menyertai kongsi gelap walaupun terdiri 8% daripada keseluruhan penduduk di Malaysia.
Kebanyakan Orang Asli, tambah beliau, hidup dalam keadaan meminta-minta dan bimbang kehilangan tanah adat dan mata pencarian, sementara anak-anak mereka sukar untuk mendapatkan akses ke sekolah.
“Bagaimana kita boleh tahan dengan semua ini?” katanya. – 6 Mei, 2018.
Komen