Pengundi pos luar negara kesal SPR gagal hantar kertas undi awal


The Malaysian Insight

RIBUAN rakyat Malaysia di seluruh dunia masih belum menerima kertas undi mereka dan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensabotaj sistem Pengundian Pos Luar Negara dengan menangguhkannya sehingga kebanyakan mereka tidak akan dapat menghantar undi ke tanah air pada masa kiraan dilakukan.

Dengan hanya tiga hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramai rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi pos di luar negara menggunakan media sosial untuk menyatakan kegelisahan mereka berhubung kemungkinan undi mereka akan lewat sampai pada tarikh akhir 5 petang Rabu yang ditetapkan oleh SPR.

Bagaimanapun, daripada menyerah begitu sahaja, mereka berusaha dan bekerjasama mencari jalan untuk memastikan undi dari negara seperti UK, Australia dan New Zealand sampai ke tanah air.

Sesetengah inisiatif termasuk mengatur logistik untuk pengundi menyerahkan kertas undi kepada sukarelawan pulang ke tanah air, dan juga mengumpul dana untuk membeli tiket penerbangan kepada mereka yang sanggup menyerahkan kertas undi kepada kawasan masing-masing.

Yap, yang tinggal di luar negara selama 16 tahun lalu, berkata pada mulanya memutuskan untuk tidak pulang mengundi dalam PRU14 ini.

Namun, ia sebelum membaca catatan Facebook baru-baru ini yang menyeru sukarelawan Malaysia membawa undi pos pulang agar memastikan ia sampai tepat pada tarikh akhir.

“Saya sangat kecewa apabila hari pilihan raya diumumkan pada Rabu, dan sebagai ibu kepada dua anak kecil, saya enggan pulang mengundi pada mulanya,” kata Yap, yang meminta agar nama penuhnya tidak disiarkan.

“Sehinggalah saya mendapati ramai pengundi pos menghadapi kesukaran dalam memastikan kertas undi mereka dihantar pulang sebelum tarikh pilihan raya.

“Saya rasa ia adalah alasan yang baik bagi saya untuk pulang mengundi dan membawa bersama beberapa undi,” kata wartawan yang berpangkalan di Perth.

Di Auckland, New Zealand, Penyelaras Bersih, Pam berkata tiga undi diterbangkan pulang ke Malaysia hari ini, dengan 30 undi dijangka dibawa oleh sukarelawan pada Selasa.

“Kedengarannya seperti bilangan yang kecil, tetapi itu kerana kebanyakan kita masih menunggu kertas undi tiba,” kata Pam kepada Malaysia.

Beliau berkata seorang warga Malaysia di Tokyo memberitahu tidak tahu sesiapa yang pulang sebelum Rabu, jadi dia merancang menunggu di lapangan terbang dengan plakad bagi menarik perhatian rakan senegara untuk membantu membawa balik undinya.

Terdapat hampir 4,000 rakyat Malaysia di luar negara yang layak mendapat undi pos, menurut SPR.

Kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih 2.0 menerima ratusan aduan daripada pengundi di luar negeri berhubung kesulitan proses pengundian pos. Sesetengah pengundi memeriksa dengan agensi kurier dan mendapati mereka hanya akan menerima undi pada 10 Mei, sehari selepas hari mengundi.

Global Bersih dan MyOverseasVote memulakan petisyen dalam talian yang menyeru Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah menjelaskan bagaimana undi pos luar negara boleh dikembalikan pada 5 petang 9 Mei kerana kertas undi hanya dihantar selepas hari penamaan pada 28 April.

“Jika pengundi pos di luar negara ditolak hak mereka untuk mengundi kerana sabotaj SPR, MyOverseasVote dan Global Bersih akan membantu mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR dan kerajaan Malaysia,” kata petisyen tersebut, yang memperoleh lebih 32,000 penandatangan.

Adelene Wee, yang menetap di Australia sejak 16 tahun lalu, mendapati kertas undi beliau hanya akan tiba di rumahnya pada Isnin, 7 Mei, jika dia bergantung kepada agensi kurier yang tidak melakukan penghantaran pada hujung minggu.

Tidak berani mengambil risiko, Wee ke pejabat syarikat kurier untuk mengambil sendiri kertas undi pada Sabtu.

Dia kemudian menyerahkannya, ditandakan dan digam, kepada rakan yang pulang ke Malaysia hari ini.

Arkitek, yang merupakan pengundi berdaftar bagi kerusi Parlimen Kota Melaka, juga sedang giat mencari dan membantu sesetengah rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan untuk berhubung dengan orang yang boleh membawa pulang kerta undi dalam masa ditetapkan.

“Setiap undi penting dan saya mahu rakyat Malaysia pulang agar mereka tahu yang kami menyokong mereka,” katanya.

“Hanya kerana kita tinggal di luar negara tidak bermakna kita tidak bermakna kami bukan rakyat Malaysia.” – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen