Indonesia syak pemerdagangan manusia punca pelarian Rohingya meningkat


Jumlah pelarian yang tiba di Aceh meningkat bulan lalu dengan lebih 1,000 orang mendarat, ketibaan terbesar sejak 2015. – Gambar AFP, 9 Disember, 2023.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo semalam berkata kerajaannya mengesyaki peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang mendarat di perairan negara itu berpunca daripada rangkaian pemerdagangan manusia.

Ribuan etnik Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka meredah bahaya menaiki bot untuk cuba sampai ke Bangladesh malah lebih jauh ke Malaysia atau Indonesia, yang jauhnya kira-kira 1,800 kilometer bagi menyelamatkan diri daripada tindakan keras di Myanmar.

Jumlah pelarian yang tiba di Aceh meningkat bulan lalu dengan lebih 1,000 orang mendarat, ketibaan terbesar sejak 2015.

“Terdapat syak wasangka yang kuat terhadap penglibatan rangkaian pemerdagangan manusia dalam kemasukan pelarian ini,” kata presiden itu, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, pada sidang media semalam.

Beliau berikrar kerajaannya “akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku pemerdagangan manusia”.

Ketibaan sekumpulan 139 pelarian Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak, di Aceh baru-baru ini dibantah penduduk tempatan yang mendesak supaya pelarian ini dipindahkan.

Jokowi berkata kerajaannya akan memberi bantuan sementara “dengan mengutamakan kepentingan masyarakat setempat”.

Dalam pada itu, Ketua Polis Lhokseumawe Henki Ismanto berkata tiga penduduk tempatan telah ditahan kerana terlibat dalam pemerdagangan manusia selepas mereka membantu 30 pelarian Rohingya meninggalkan kem di bandar Lhokseumawe, Aceh.

Suspek didakwa menerima bayaran 300,000 rupiah Indonesia (AS$19.32) daripada setiap pelarian untuk membawa mereka ke lokasi lain di Pulau Sumatera.

Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian. – AFP, 9 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen