MESKIPUN hari ini merupakan hari pertama minggu bekerja di Kelantan, ribuan tidak melepaskan peluang untuk hadir ke dua acara yang menampilkan Dr Mahathir Mohamad dalam slot kempen Pakatan Harapan (PH) pada sebelah pagi.
Ia sekaligus mematahkan dakwaan PAS dan Barisan Nasional (BN) bahawa Dr Mahathir akan membawa kemudaratan kepada negeri tersebut, membangkitkan mengenai tindak tanduk bekas perdana menteri itu sebelum ini yang didakwa menghukum rakyat Kelantan kerana secara berterusan mengundi PAS semasa zaman pentadbirannya.
Ahli Perniagaan Hydrali Koya antara yang mengambil masa senggang untuk melihat dengan mata sendiri kehadiran calon perdana menteri Pakatan Harapan itu di Kok Lanas, Ketereh.
Dia antara 2,000 hadirin, yang bersesak-sesak memasuki tiga kemah di tengah-tengah padang terbuka di Taman Anggerik bagi berlindung daripada cuaca panas terik.
“Saya datang nak dengar Tun dan untuk memberi sokongan kepada Pakatan. Sebagai peniaga saya nampak macam mana GST tu menekan rakyat,” katanya yang berusia 69 tahun dan berasal dari Ketereh.
PH yakin mampu menawan Ketereh yang dimenangi BN pada pilihan raya umum lepas dengan kelebihan tipis 974 undi.
Selepas tengah hari, Dr Mahathir memberikan ucapan merangsangkan di ruang kecil belakang Restoran ID di Kampung Cherang, Kota Baru.
Pemilik restoran berkenaan memberitahu Malaysia Decides yang beliau menghadapi kesulitan mengambil pesanan pelangan yang bertambah secara mendadak kerana pihak pengajur tidak menyediakan makanan.
“Orang datang semasa makan tengahari. Mereka dengar dan balik pejabat,” kata penduduk Kota Baru Arif Yaakob.
Pegawai PH Kelantan berkata Dr Mahathir hanya boleh mengisi slot kempen pada sebelah pagi, memandangkan beliau mempunyai jadual yang ketat.
“kalau kita buat malam orang jauh lebih ramai.
“Jadi kita rasa ini satu kejayaan kerana susah nak dapat orang pada hari Ahad,” katanya.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir menggesa penduduk memberikan peluang kepada PH dan mengalahkan BN.
Beliau turut mengulangi undi untuk PAS bermakna BN akan terus berkuasa.
“Dia tanding supaya undi tak datang pada PH. Supaya kita tak boleh bentuk kerajaan. Kalau macam tu dia sokong Umno la.” – 6 Mei, 2018.
Komen