Harga ubat Cina dijangka naik mulai Januari


Angie Tan

Kebanyakan pengamal perubatan Cina mengeluh keuntungan mereka merosot. – Gambar EPA, 9 Disember, 2023.

HARGA ubat tradisional Cina dijangka naik Januari tahun depan susulan kenaikan kos import bahan mentah antaranya ekoran kelemahan nilai ringgit dan permintaan yang tinggi terhadap produk kesihatan itu, kata sebuah persatuan.

Presiden Persekutuan Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina dan Akupunktur Malaysia Dr Ng Po Kok berkata kebiasaannya harga ubat herba Cina naik antara 10% hingga 20%, namun ia mencecah sehingga 50% dalam tempoh 11 bulan lalu.

Malah tidak mustahil kenaikan itu boleh melambung sehingga mencecah 100%, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kebanyakan pengamal perubatan Cina mengeluh keuntungan mereka merosot.”

Ng memberikan contoh harga tumbuhan herba seperti honeysuckle dan codonopsis, yang dipercayai boleh memulihkan tenaga dan kesihatan serta banyak digunakan dalam produk penjagaan kesihatan di China dan Korea, naik dengan ketara. 

“Terutamannya herba honeysuckle yang banyak digunakan untuk merawat selesema. Malah sekarang kes selesema dilaporkan semakin meningkat,” katanya.

Sungguhpun begitu, katanya, sejak dua tahun lalu pengamal perubatan Cina sedaya upaya mencuba untuk tidak menaikkan harga ubat kerana memahami kesan akibat inflasi.

“Kami cuba meminimumkan impak inflasi dengan menyerap kenaikan harga, tetapi oleh kerana beberapa harga herba meningkat antara 50% hingga 100% akibat kos import maka pengamal perubatan terpaksa juga menyesuaikan harga ubat.”

Atas faktor itu juga, tambah Ng, munasabah bagi pengamal perubatan Cina menaikkan caj perubatan perundingan kepada antara RM120 hingga RM130 berbanding RM100 yang dikenakan ketika ini. – 9 Disember, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen