Pengundi Kuala Langat mahu calon BN lebih banyak turun padang


The Malaysian Insight

KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) meletakkan pendatang baru, Shahril Sufian Hamdan, untuk bertanding kerusi Parlimen Kuala Langat mengundang pelbagai reaksi masyarakat setempat. 

Calon berusia 32 tahun itu adalah salah seorang calon muda yang diketengahkan Umno bagi berdepan Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar dan calon PAS Dr Yahya Baba yang merupakan bekas pengarah Hospital Klang.   

Semasa walkabout di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, semalam, Shahril memberitahu 30 hadirin untuk memberi beliau peluang untuk berkhidmat dan berjanji akan menjaga kebajikan pengundi di pulau tersebut, yang terkenal dengan makanan laut, ladang kelapa sawit dan penempatan semula Orang Asli dari suku Mah Meri.  

Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Kuala Langat Yahya Sidin berkata Shahril, yang merupakan exco Pemuda Umno, berjanji akan memberi hak tanah adat kepada masyarakat Orang Asli. 

“Perkara membabit pewartaan tanah ini sudah lama dibincangkan tetapi sehingga kini tidak dilaksanakan. 

“Ia adalah perkara yang kami mahu lakukan dan telah kami bawa kepada Shahril, yang katanya akan menjadikan ia sebagai keutamaan jika beliau menerima mandat daripada rakyat,” kata Yahya, 38, Orang Asli dari suku Mah Meri. 

Yahya menyifatkan Shahril sebagai angin pembaharuan bagi pengundi di sini, yang sejak dua pilihan raya lepas mengundi pembangkang. Calon PKR menang di kerusi itu pada 2013 dengan kelebihan 5,358 undi. 

Bagaimanapun, bagi seorang lagi penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Husin, beliau tidak pernah mendengar tentang Shahril sekaligus berharap beliau meluangkan lebih masa berkempen di pulau tersebut. 

“Saya tak nampak dia di sini. Keutamaan kami adalah untuk mewartakan tanah kami jadi kami harap dia dapat buat perkara itu jika dia menang,” katanya yang berusia 43 tahun. 

Sementara itu di Sijangkang, seorang penduduk tempatan berusia 36 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nisa berkata mengenali Shahril sebagai calon BN tetapi tidak berapa mengenalinya. 

“Dia nampak berinteraksi baik dengan penduduk tempatan. Kami perlu tunggu dan lihat apa yang boleh ditawarkannya,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Shahman Said, 52, berkata sukar untuk Shahril merampas kerusi itu daripada PKR yang telah menyandangnya selama dua penggal. 

“Jika orang tempatan mahu perubahan, ia bermaksud sesuatu. BN tidak boleh diharap jadi mereka minta satu perubahan. 

“Meletakkan calon muda mungkin akan bawa perubahan, tetapi ia sukar,” katanya. 

Shahril berkata strategi kempennya adalah untuk mendekati rakyat. 

“Bagi saya tidak ada cara lain selain berkempen secara bersemuka dan menyakinkan rakyat tentang mesej kami. 

“Saya fokus kepada apa yang saya boleh tawarkan kepada rakyat, idea dan insiatif yang mana akan membawa perubahan penting dalam kualiti hidup penduduk di sini,” katanya kepada Malaysia Decides. – 6 Mei, 2018. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen