Jangan pecah undi, gesa Guan Eng kepada pengundi Pulau Pinang 


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan Pulau Pinang bimbang sekiranya pengundi memecahkan undi antara kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberikan satu undi kepada pembangkang dan satu lagi kepada Barisan Nasional.

Ketua PH Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kebimbangan ini kerana ramai rakyat fikir Pulau Pinang “selamat” daripada pembangkang pusat.

“Di Pulau Pinang ami bimbang. Satu undi kepada PH dan satu lagi kepada BN akan meletakkan kita dalam kebuntuan.

“Jika kita tidak berhati-hati, BN akan merampas kembali Pulau Pinang. Jangan biarkan mereka kembali menjadi kerajaan negeri secara tidak sengaja.

“Jangan kita hilang apa yang telah kita usahakan. BN akan hentikan semuanya,” katanya ketika sidang media di Air Putih hari ini.

Pada pilihan raya umum 2013, BN hanya memenangi 10 kerusi  daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang. Ia juga hanya menang tiga daripada 13 kerusi Parlimen.

Pada PRU14, BN Pulau Pinang menggesa pengundi untuk memberi sokongan kepada mereka untuk memperkukuhkan pembangkang di negeri itu.

BN cuba memainkan isu rancangan pembangunan kontroversi seperti projek terowong dasar laut dan projek tambakan untuk menghentam kerajaan negeri yang diterajui PH itu.

Ia turut berazam untuk membatalkan projek terowong dan projek utama lain termasuk cadangan pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT) yang turut menghubung pulau dan tanah besar.

Lim yang juga ketua menteri sementara Pulau Pinang yang mempertahankan kerusi DUN Air Putih dan Parlimen Bagan berkata, BN langsung tidak layak menjadi pembangkang dengan cara yang dilakukannya.

“Manifesto mereka ialah untuk batalkan projek pembangunan. Bolehkah kita pilih wakil seperti ini? Mereka tidak layak mendapat sokongan rakyat.

“Mereka hanya mahu cekik kita hingga mati (dalam kesesakan trafik) Ini salah. Tolong undi PH untuk kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen,” katanya. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen