'Nota terakhir' Dr Mahathir ditonton 7,700 kali dalam masa sejam


The Malaysian Insight

DALAM kempen terakhir untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti komponen termuda dalam Pakatan Harapan (PH) melancarkan video yang memaparkan Pengerusi Dr Mahathir Mohamad dengan catatan terakhirnya kepada para pengundi.

Video berdurasi empat minit dua saat yang disiarkan di laman Facebook Bersatu kira-kira jam 2.00 petang dilihat 7,700 kali dan dikongsi 515 kali dalam masa sejam. Setakat jam 4.00 petang, jumlahnya hampir dua kali ganda, dengan 13,000 ditonton dan 837 perkongsian.

Video yang menunjukkan kempen pilihan raya Dr Mahathir dan imej beliau bersama isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta pemimpin PH lain dengan berlatar suara bekas perdana menteri itu membaca puisi.

Antara bait puisinya:
“Kita sudah sampai ke penghujung jalan, telah ku kerah kudrat ku untuk menyelamatkan bangsa
Keringatku masih basah dan nafas juga belum lega.
Ku laku semua kerana aku tidak boleh membutakan mata, Seolah semuannya masih biasa dan aku boleh leka.”
Pemimpin berusia 92 tahun itu juga mengatakan di sebalik faktor umurnya, beliau akan terus berjuang selagi masih bernafas untuk memastikan negara tidak terjejas.

Pada akhir video, Dr Mahathir menggesa penonton mengundi sebagai langkah pertama dalam membina semula negara bersama.

Dr Mahathir, yang menerajui negara selama 22 tahun, adalah calon PH untuk kerusi Parlimen Langkawi.

Video berakhir dengan logo PKR, logo yang digunakan semua parti komponen di bawah PH pada PRU14.

Hampir 15 juta orang mendaftar sebagai pengundi dan rakyat Malaysia akan mengundi pada 9 Mei untuk memilih kepimpinan seterusnya bagi mengurus negara. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen