Kawasan Zayn ditemui belukar sunyi, kata penyelia apartmen


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kawasan anak sungai lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui terletak kira-kira 200 meter dari kediaman mangsa di Blok R Apartment Idaman di Damansara Damai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Disember, 2023.

KAWASAN saliran air tempat penemuan mayat kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin jarang dilalui tetapi diketahui oleh penduduk Apartment Idaman, kata penyelia penempatan itu.

Bagaimanapun kawasan kejadian bukan di bawah penyeliaan pangsapuri tersebut, kata Penyelia Badan Pengurusan Bersama (JMB) Nor Haizam Hidir.

Kawasan itu juga tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di pejabat pengurusan apartment tersebut.

“Kita mempunyai empat kamera CCTV yang ditempatkan di laluan keluar masuk apartment, surau dan kawasan dewan serta pejabat JMB.

“Kami memang tidak pasti kawasan kejadian itu tanah persendirian atau milik kerajaan dan ia memang jarang dilalui penduduk,” katanya.

“Kalau ada orang bercucuk tanam di situ, (itu) tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Kawasan anak sungai itu terletak kira-kira 200 meter dari kediaman mangsa di Blok R Apartment Idaman di Damansara Damai.

Badan pengurusan itu kini merancang untuk memasang pagar dan menambah liputan CCTV di kawasan terbabit.

Eksekutif Pengurusan dan Kewangan JMB itu, Norasreta Ibrahim mereka tidak menyangka kes pembunuhan kanak-kanak akan berlaku di kawasan sunyi itu.

Katanya, JMB akan segera menambah baik sistem CCTV demi keselamatan dan keselesaan penghuni di 2,484 unit kediaman termasuk 21 unit kedai atas tanah berkeluasan lapan hektar.

“Sebelum ini kalau ada kejadian jenayah pun hanya kes seperti kecurian motosikal dan pecah rumah. Kes jenayah seperti berlaku ke atas Zayn ini kali pertama berlaku,” katanya.

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kebanyakan penduduk tidak mengetahui mengenai laluan saliran air yang menjadi lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui.

“Kami memang tidak pernah lalu kawasan itu, malah takut kerana ia dipenuhi belukar. Tambah pula apabila jadi kes ini, lagi takut nak masuk situ,” katanya.

Allahyarham Zayn ditemui mati di kawasan saliran itu sehari selepas ibunya membuat hebahan di media sosial dan juga laporan polis mengenai kehilangannya.

Laporan menyebut jasad kanak-kanak malang itu ditemui seorang penduduk tempatan yang menyertai operasi pencarian.

Kawasan penemuan itu dilaporkan sudahpun diliputi polis dalam pencarian oleh pasukan polis yang turut menggunakan khidmat unit anjing pengesan dan bomba.

Menurut polis, siasatan forensik ke atas jasad mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan yang menyebabkan siasatan diklasifikasi sebagai kes bunuh.

Pasukan itu mengesyaki kanak-kanak tersebut dibunuh ke kawasan lain sebelum dibawa ke lokasi tersebut.

Polis juga sudahpun merakam semula keterangan ibu bapa kanak-kanak tersebut ekoran penemuan baharu itu dan akan mendapatkan semula keterangan jiran dan saksi.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keterangan kedua-dua ibu bapa Zayn diambil malam tadi dan mungkin akan diambil sekali lagi.

“Keterangan jiran dan saksi juga akan diambil dalam tempoh masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.

“Kita selesai ambil keterangan mereka kali kedua malam tadi dan akan lihat keperluan sekiranya akan ambil lagi maklumat-maklumat lain,” katanya.

Beliau berkata, proses pencarian bahan bukti masih giat dilakukan di lokasi kejadian sejak malam tadi oleh pasukan khas polis.

“Kita juga memohon orang ramai terutama penduduk setempat yang mempunyai sebarang maklumat untuk membantu siasatan polis.

“Walau sekecil-kecil maklumat diharap dapat membantu siasatan kita,” katanya.

Siasatan pasukan khas itu akan menumpukan kawasan seluas lapan hektar melibatkan 18 blok apartmen dengan 2,484 kediaman serta kedai, serta kawasan anak sungai.

Polis juga menganalisis segala keterangan saksi dan maklumat yang diterima untuk mengesan suspek, katanya. – 8 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen