Penganalisis yakin Nik Omar tetap menang walau digelar 'anak derhaka'


The Malaysian Insight

PENGANALISIS percaya peluang calon Pakatan Harapan, Nik Omar Nik Abdul Aziz tetap cerah untuk menang dalam PRU14 walau digelar sebagai anak derhaka oleh ibunya sendiri.

Penganalisis politik Kelantan, Dr Khairuddin Damanhoeri yakin, kenyataan keras tersebut tidak terbit dari lubuk hati balu Tuan Sabariah Tuan Ishak yang dipercayainya masih sayang pada Nik Omar.

“Isu ini tidak ada apa-apa. Saya yakin Tuan Sabariah tidak bersikap begitu. Ia hanya digembar gemburkan oleh media sahaja terutama Kosmo yang menjadikan berita ini tajuk muka depannya,” kata Damanhoeri.

Beliau berkata, Tuan Sabariah dalam bukunya bertajuk Bidadari Dari Timur yang diterbitkan beberapa tahun lalu selepas Nik Aziz meninggal dunia turut merakam perasaan bangga dengan ketokohan Nik Omar.

“Sifat positif (TGNA) ini dapat kulihat mengalir dalam personaliti anak-anak kami terutama Nik Omar,” tulis Tuan Sabariah dalam buku itu.

Nik Omar kini bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Chempaka yang pernah diwakili Nik Aziz semasa hayat bapanya itu.

Pandangan Khairudidin turut disokong oleh seorang bekas penyelidik dari Pusat Kajian Strategik Kelantan (PKS), Mohamed Zainal Abidin Hussein.

Beliau berpendapat, Tuan Sabariah membuat kenyataan itu kerana menerima tekanan dan ugutan politik dari orang sekelilingnya sahaja terutama Nik Abduh, adik kepada Nik Omar yang kini bertanding di Bachok.

“Kita kena faham, Tuan Sabariah ini bukan orang politik. Dia hanya suri rumah sepenuh masa.

“Lagipun, di kalangan keluarga besar Nik Aziz, hanya Nik Omar saja yang secara jelas menyertai Pakatan Harapan. Yang lain masih kekal dalam PAS.

“Kalau ada yang lainpun, mereka hanya mendiamkan diri sahaja kerana tidak mahu melawan kerana ia hanya akan menyusahkan mereka,” kata beliau.– 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen