Debat Syed Saddiq-Razali batal, polis kata 'tidak sesuai'


The Malaysian Insight

POLIS membatalkan debat yang ditunggu-tunggu di Muar antara calon Hakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyandang kerusi Parlimen kawasan itu, Razali Ibrahim daripada Barisan Nasional (BN) kerana “tidak sesuai”, lapor The Star.

Debat bertajuk “PRU14: BN atau PH?” itu dijadual berlangsung di Hotel Traders Muar pada pukul 9 malam ini. Hotel ini terletak 40m dari balai polis Trafik Muar dan 700m dari IPD Muar di Jalan Puteri di pusat bandar Muar.

Ketua polis Johor, Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya menerima surat daripada pihak penganjur pada pagi ini memaklumkan kepada polis mengenai debat yang akan diadakan pada malam nanti.

“Atas sebab-sebab ketenteraman awam, mengadakan debat seperti itu dengan notis yang singkat dianggap tidak sesuai,” katanya seperti dipetik portal The Star Online.

Beliau juga dilaporkan berkata penganjuran debat seumpama itu perlu kepada permit mengikut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Pemeriksaan di hotel menunjukkan notis perdebatan masih terpapar di hotel.

Syed Saddiq dan Razali tidak menjawab panggilan mengenai pembatalan itu.

Namun, Syed Saddiq menulis di akaun Twitter yang notis 10 hari tidak diperlukan dalam tempoh pilihan raya.

“JIka begitu, semua ceramah dalam tempoh pilihan raya ini adalah haram,” katanya menjawab tweet pengguna lain yang mengatakan ia dibatalkan kerana PH tidak memenuhi syarat.

Polis di Selangor dan Perak juga pernah membatalkan perdebatan antara Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan Nazri Aziz tahun lepas kerana alasan “keselamatan”.

Debat dua calon Parlimen di Muar itu adalah satu-satunya acara debat yang diketahui dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 ini (PRU14).

Muar adalah antara kerusi marginal yang diyakini oleh PH boleh dirampasnya daripada BN pada PRU14 ini.

Razali adalah penyandang Muar sejak 2004 namun majoritinya menurun dari satu pilihan raya umum ke satu pilihan raya umum. Pada 2004, Razali menang dengan 13,415 undi tetapi majoriti itu berkurangan pada 2008 kepada 4,661 dan pada 2013, beliau menang hanya 1,646 undi. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen