SEORANG lagi bekas menteri Umno meminta semua rakyat Malaysia untuk mengundi tanpa rasa bimbang dan mengikut hati yang ikhlas.
Veteran parti itu Syed Hamid Albar dalam satu surat terbuka, yang tidak menyebut mana-mana pakatan politik menggesa pengundi agar “tidak terperangkap” dengan pelbagai ‘hadiah’, poster-poster dan iklan-iklan kempen serta taktik menakut-nakutkan.
“Kita seharusnya menghormati mereka yang mempunyai kuasa, namun kita tidak patut gentar terhadap mereka.
“Fikirkanlah tentang masa depan dan fahamilah bahawa keputusan yang akan anda buat pada 9 Mei ini tidak hanya memberi kesan kepada lima tahun akan datang, malah ia akan menjadi titik rujukan untuk tahun-tahun kemudiannya,” tulisnya.
Syed Hamid yang merupakan bekas ahli majlis tertinggi Umno dan pernah memegang beberapa port folio kementerian termasuk portfolio hal ehwal dalam dan luar negeri, menyertai beberapa bekas pemimpin parti emerintah yang mula bersuara mengenai kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional.
Dua daripada mereka adalah Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz, yang kini mula berkempen secara terbuka kepada Pakatan Harapan dengan memberikan ceramah pada program ceramah pembangkang. Mereka kemudiannya dipecat daripada Umno.
Bekas menteri Rais Yatim turut memberikan pandangan mengkritik berhubung Pilihan Raya Umum ke 14 dan kini sedang disiasat oleh Umno.
Berikut adalah teks penuh surat berkenaan:
Surat Terbuka kepada Rakyat Malaysia oleh
Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar
6 Mei, 2018
Rakyat Malaysia sekalian,
Pilihan raya umum ke-14 semakin hampir dan semestinya ramai antara anda telah terdedah kepada pelbagai ‘hadiah’, poster-poster dan iklan-iklan kempen serta taktik menakut-nakutkan.
Di sebalik segala yang disampaikan, saya berharap anda semua juga berpeluang untuk mendengar pendirian dan pandangan-pandangan matang serta rasional yang telah bersuara.
Sebagai pengundi, kita tidak patut membantu mereka yang sudah sedia kuat. Jangan sesekali terperangkap dalam situasi ini.
Pada 9 Mei nanti, marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia, mengundi dengan hati yang ikhlas untuk perubahan yang positif.
Undilah mengikut naluri dan suara hati. Undilah dengan ikhlas. Gunakan kebijaksanaan dan pertimbangan yang rasional.
Undilah untuk mereka yang berintegriti, yang dihormati, telus, amanah dan yang akan bekerja keras serta boleh dipercayai, kerana kualiti-kualiti ini akan menjadi asas kepada kerajaan yang mereka wakili.
Inilah maksud demokrasi yang sebenar – kebebasan untuk memilih sesiapa sahaja yang mampu untuk menggerakkan aspirasi menjadi realiti dan bukan setakat janji kosong melalui kempen dengan slogan-slogan dan manifesto.
Kita seharusnya menghormati mereka yang mempunyai kuasa, namun kita tidak patut gentar terhadap mereka.
Fikirkanlah tentang masa depan dan fahamilah bahawa keputusan yang akan anda buat pada 9 Mei ini tidak hanya memberi kesan kepada lima tahun akan datang, malah ia akan menjadi titik rujukan untuk tahun-tahun kemudiannya.
Malaysia adalah negara yang masih muda dan sedang rancak membentuk dirinya sebagai sebuah negara demokratik.
Perjalanan sehingga ke hari ini penuh dengan pelbagai liku, namun saya percaya jika kita benar-benar bersatu berasaskan objektif bersama dan mempertahankan perjuangan kita demi keadilan dan kehormatan, InsyaAllah, ini mampu menumpaskan penipuan, pembohongan dan pemalsuan.
Rakyat Malaysia sekalian, marilah kita mengundi dan semoga undi kita membentuk kerajaan untuk rakyat, oleh rakyat. Penentuan masa depan ada di tangan kita. Undilah dengan bijak.
Sebagai rakyat Malaysia, kita menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
*Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar adalah bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno. Beliau adalah ahli Parlimen dari 1990 hingga 2013 dan memegang pelbagai jawatan menteri dari 1990 hingga 2009. Beliau adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri, menteri undang-undang, menteri pertahanan, menteri hal ehwal luar negeri, dan menteri hal ehwal dalam negeri. – 6 Mei, 2018.
Komen