Guan Eng nafi Pakatan bawa orang luar untuk ramaikan ceramah


The Malaysian Insight

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Najib Razak hari ini diingatkan agar menjaga tepi kain sendiri daripada sibuk mengira jumlah kehadiran orang ramai ke ceramah anjuran Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata Najib tidak ada bukti menuduh PH membawa orang luar untuk meramaikan ceramahnya.

“Dia kata kami (PH) bawa banyak bas untuk angkut orang luar bagi meramaikan ceramah. Ia (tuduhan) tidak bertanggungjawab kerana dia tidak boleh tunjuk bukti.

“Di Ipoh, 10,000 orang (dengar ceramah kami). Tidak ada bas. Di Melaka juga tidak ada bas. Orang ramai datang sendiri untuk menyokong perubahan.

“Beliau sepatutnya lihat sendiri masalah dalaman Umno. Mereka baru saja pecat dua orang veteran. Tak perlulah untuk dia tengok jumlah kehadiran ceramah kami,” kata Lim semasa kempen walkabout di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Putih di Pulau Pinang, yang akan dipertahankannya dalam PRU14.

Lim, yang merupakan ketua menteri sementara Pulau Pinang, berkata BN mungkin dalam keadaan panik selepas melihat sambutan orang Melayu dan bukan Melayu di ceramah PH di seluruh negara pada PRU kali ini.

“Ini adalah kebangkitan rakyat, yang menuntut perubahan.”

Semalam, Najib mendakwa PH mengimport orang luar untuk hadir ceramah. Beliau turut mendakwa tidak ada penjawat awam yang hadir ke ceramah PH di Putrajaya. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen