Jangan ubah kerajaan demi negara, kata Abdullah Badawi 


The Malaysian Insight

BEKAS perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan rakyat Malaysia berhubung mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 dan mengatakan pakatan pembangkang Pakatan Harapan masih belum stabil untuk menerajui negara.

“Mana-mana kerajaan yang terdiri daripada mereka yang berlainan ideologi politik, yang hanya bersama-sama bagi tujuan utamanya untuk merampas kuasa politik, adalah tidak baik untuk negara,” kata Abdullah dalam satu kenyataan tegas semalam.

“Adalah tidak bijak untuk memilih pemimpin yang tidur sebantal, mimpi lain-lain.”

Pakatan Harapan yang kini diterajui oleh pendahulu Abdullah, Dr Mahathir Mohamad dan terdiri daripada DAP, Bersatu, PKR dan Amanah, meyasarkan untuk menyingkirkan kerajaan BN.

Abdullah turut menggesa rakyat Malaysia untuk mengkaji tawaran oleh kedua-dua BN dan PH, untuk membuat pilihan yang bijak, kerana masa depan negara bergantung kepada mereka.

“Kaji betul-betul janji pilihan raya. Apa yang benar dan mampu dicapai dan apa yang hanya janji, dibuat untuk memancing undi.

“Kerana janji musim bunga boleh membawa kepada musim panas yang gemilang, tetapi ia juga boleh berakhir pada musim sejuk dengan ketidakpuasan kepada negara,” katanya.

“Sebagai orang tua yang sayang kepada negaranya sebagaimana rakyat yang lain, saya ingin mengingatkan kepada mereka yang bertanding pada pilihan raya kali ini untuk tunaikan tanggungjawab…jangan hanya mendapatkan kuasa untuk kepentingan.”

Dr Mahathir, 93 mengetuai pakatan pembangkang untuk menumbangkan BN yang diterajui perdana menteri sementara Najib Razak yang didakwa terlibat degan rasuah dan akan menjatuhkan negara.

Abdullah berkata, walau apa jua keputusan pilihan raya, tempoh peralihan perlu berjalan dengan lancar bagi mengekalkan kepercayaan pelabur.

“Sejak bertahun lalu, kita secara konsisten melalui perubahan kuasa dari seorang perdana menteri kepada perdana menteri yang lain, yang memastikan kestabilan dan kejayaan negara berterusan.

“Pada pilihan raya umum akan datang, rakyat Malaysia perlu mengamalkan kebijaksanaan dan rasionalisasi bagi mengaplikasikan kriteria penting yang sama.”

Abdullah meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan perdana menteri selepas pilihan raya umum 2008, apabila pakatan pemerintah hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, bersama lima daripada 12 negeri. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen