ZIMBABWE sedang melaksanakan reformasi undang-undang untuk menangani keganasan terhadap wanita dan gadis termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, kata Menteri Keadilan, Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen Ziyambi Ziyambi semalam.
Dalam ucapannya pada acara 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Jantina (GBV), Ziyambi menekankan mengenai pencapaian utama setakat ini dalam Akta Perkahwinan yang menjadikan perkahwinan kanak-kanak sebagai jenayah.
Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha untuk menangani isu-isu seperti GBV dan memastikan akses kepada keadilan melalui pelbagai rangka kerja undang-undang, lapor agensi New Ziana.
“Kami sedang melaksanakan reformasi undang-undang untuk memerangi keganasan terhadap wanita dan gadis termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan wanita dan gadis boleh hidup tanpa rasa takut akan keganasan dan penindasan dengan menangani punca GBV dan menguatkuasakan langkah-langkah perundangan yang kukuh.
Kerajaan mengakui keseriusan masalah GBV dan melaksanakan program-program menyeluruh yang menangani pencegahan, respons dan perkhidmatan sokongan.
Beliau menekankan pentingnya menangani punca GBV dan mencipta peluang untuk pemulihan yang sebenar-benarnya bagi mengubah kehidupan wanita dan gadis di Zimbabwe.
Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada setiap tiga wanita berumur antara 15 dan 49 tahun mengalami keganasan fizikal (35 peratus) dan satu daripada setiap lima wanita (17 peratus) mengalami keganasan seksual sering kali dilakukan oleh pasangan hidup dan ahli keluarga.
Amalan berbahaya seperti perkahwinan kanak-kanak dan kahwin paksa pada usia muda melanggar hak seksual, reproduktif dan kesihatan wanita dan gadis di Zimbabwe menyebabkan kadar kehamilan awal yang lebih tinggi, peningkatan risiko pendedahan kepada HIV/AIDS dan kematian ibu yang meningkat.
16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berdasarkan Jantina adalah kempen antarabangsa tahunan yang berlangsung dari 25 November (Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan terhadap Wanita) hingga 10 Disember (Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa).
Tema tahun ini ialah “BERSATU! Melabur untuk Mencegah Keganasan terhadap Wanita & Gadis.” – Bernama, 7 Disember, 2023.
Komen