BEKAS menteri kewangan Daim Zainuddin berkata keputusannya untuk bersuara menentag Najib Razak dan berkempen untuk pembangkang Pakatan Harapan adalah atas rasa tanggngjawab kepada negara, dan beliau tidak gentar dengan pembalasan daripada perdana menteri sementara itu.
Pemimpin berusia 80 tahun yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri berkata, Najib akan dihakimi oleh rakyat dan dunia kerana kesilapan yang beliau lakukan sepanjang sembilan tahun memegang kuasa.
“Bila kita buat silap, kita kena mengaku. Rakyat boleh terima. Najib boleh lakukan yang terbaik untuk negara dan dirinya sendiri,” katanya pada sidang media selepas sesi ceramah di Permatang Pauh hari ini.
“Seorang pemimpin perlu sentiasa fikirkan rakyat. Kamu dipilih oleh rakyat dan bertanggungjawab ke atas mereka. Akhirnya mereka akan menghakimi kamu dan dunia tidak akan fikir baik tentang kamu.”
Daim berkata, beliau sudah lama mengenali Najib dan berkata tidak takut kepadanya.
“Sebagai orang Islam, saya hanya takut kepada Allah. Tiada apa yang nak ditakutkan jika kita di jalan yang benar dan tidak melakukan kesalahan. Dalam negara ini kita perlu hormati undang-undang,” katanya.
Daim bersama bekas ketua Wanita Umno Rafidah Aziz, kini aktif berkempen untuk pakatan pembangkang, membuat kemunculan dan memnyampaikan ceramah bersama calon Pakatan di pelbagai kawasan.
Beliau berkata, beliau melihat gerakan untuk perubahan di kesemua tempat yang dikunjungi dan di program ceramah PH menarik jumlah hadirin yang ramai.
“Tetapi rakyat perlu keluar mengundi pada Rabu ini. Tidak guna pergi ke ceramah, tetapi tidak keluar mengundi. Pilihan raya adalah tentang mengundi.”
Ditanya sekiranya beliau melihat berlaku tsunami Melayu, Daim berkata: “Sangat baik kalau ia berlaku. Kalau tidak berlaku sekalipun kita masih boleh menang. Gelombang ini takkan berhenti.
“Rakyat sudah muak. Mereka tahu kerajaan berbohong. Kali ini Malaysia boleh mengubah kerajaan (persekutuan).”
Turut hadir pada ceramah pagi ni adalah calon PH Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), Dr Norlela Ariffin (Penanti), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Faiz Fadzil (Permatang Pasir). – 6 Mei, 2018.
Komen