KEGAGALAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih membuka peluang merbahaya kepada “pihak tidak bertanggungjawab” untuk menggerakkan pengundi hantu pada hari pengundian Rabu depan, kata badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0
Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata lebih 2.5 juta pengundi meragukan wujud dalam daftar pemilih Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“SPR gagal mengekalkan daftar pemilih yang bersih dan tepat. Maksud saya sekurang-kurangnya 15% (2.12 juta) dalam daftar tidak mempunyai alamat atau tidak lengkap alamat mereka.
“Tambahan 500,000 lagi pengundi didaftarkan menggunakan alamat yang sama atau tidak wujud,” kata Shahrul kepada wartawan di pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya hari ini.
“Berjuta pengundi. Maksud saya, ini sangat banyak. Ia jumlah yang besar. Saya rasa alasan diberikan SPR yang mereka tak sedar perkara ini tidak boleh diterima kerana ia isu besar,” katanya.
Menurut data SPR, terdapat 14.8 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRU14.
Dalam laporan awal penemuan Bersih 2.0 yang dikeluarkan hari ini, kumpulan itu mengatakan ramai pengundi juga secara sengaja dan tidak sah dipindahkan ke kawasan marginal oleh parti politik bagi mempengaruhi keputusan, menyebabkan “jumlah besar pengundi yang luar biasa” didaftarkan dengan alamat meragukan.
“Sejak tiga minggu lepas, ramai pengundi mendapati pendaftaran mereka dalam daftar pemilih bermasalah selepas diperiksa.
“Pengundi mendapati yang mereka dipindahkan atau hilang dalam daftar pemilih, dipindahkan ke kawasan lain tanpa persetujuan mereka, malah nama mereka yang meninggal dunia juga masih wujud dalam daftar pemilih,” kata Shahrul.
Katanya, aduan sudah dibuat kepada SPR tetapi tiada tindakan diambil.
Shahrul berkata kepincangan daftar pemilih mungkin membuka jalan kepada “pihak tidak bertanggungjawab” untuk mengatur pergerakan pengundi hantu untuk mengundi secara haram pada hari pengundian.
Semalam, Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah mengatakan pengundi hantu tidak wujud dan menuduh pengkritik cuba mencemarkan imej suruhanjaya itu. – 6 Mei, 2018.
Komen