Industri risau hotel kurang pekerja untuk sambut lambakan pelancong China


Angie Tan

Hotel lebih suka mengambil pekerja tempatan untuk kerja mengemas bilik tetapi malangnya, kebanyakan orang tempatan tidak berminat dengan pekerjaan itu, kata pemain indutri perhotelan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2023.

KEKURANGAN pekerja dalam industri perhotelan bakal menyukarkan pengurusan hotel untuk menyambut kemungkinan lambakan pelancong dari China, susulan pelaksanaan pengecualian visa, kata pemain industri pelancongan.

Timbalan Presiden Persatuan Perniagaan Hotel Malaysia Jarod Chia memberitahu The Malaysian Insight pada masa ini pun mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerja yang cukup pada hujung minggu atau cuti sekolah.

“Begitu teruk keadaan pada masa ini.

“Pengecualian visa adalah perkembangan yang baik untuk industri pelancongan negara tetapi industri ini, hotel dan tempat penginapan lain, menghadapi masalah kekurangan pekerja,” katanya.

Chia berkata hotel memerlukan lebih ramai pekerja untuk mengemas bilik.

“Hotel lebih suka mengambil pekerja tempatan untuk kerja mengemas bilik tetapi malangnya, orang tempatan kita tidak sanggup bekerja seperti itu,” katanya.

Katanya, hotel merungut pekerja tempatan sering tidak mahu kekal lama bekerja sebagai pengemas bilik.

“Mereka akan berhenti dalam tempoh sebulan atau dua bulan. Mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan seperti itu.”

Beliau berkata mengemas bilik bukan semudah yang ramai orang sangkakan.

Katanya, kebersihan terutama pada era pasca Covid, menjadi keutamaan utama bagi tetamu.

“Mereka bimbang ada bakteria dalam bilik yang tidak bersih,” katanya.

Chia pada masa ini sedang cuba untuk mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya, 99% daripada mereka yang terlibat dalam industri perhotelan sedang berdepan masalah ini – mereka mencari pekerja untuk mengemas bilik.

“Jika orang tempatan tidak mahu, jadi terpaksa beri kepada warga asing. Beri mereka kerja ini,” katanya.

Chia berkata jika masalah itu tidak dapat diselesaikan, ia boleh merosakkan reputasi Malaysia dan menjejaskan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, antara punca masalah ini juga adalah pihak pengurusan hotel pada tempoh pasca pandemik gagal memberikan latihan kepada pekerja baharu yang diambil untuk menggantikan pekerja yang diberhentikan ketika Covid-19.

“Pekerja baharu yang diambil sekarang kurang pengetahuan tentang kerja mereka sendiri.” – 7 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen