Sabah tak perlu lagi jadi deposit selamat BN, kata Shafie


The Malaysian Insight

RAKYAT Sabah tak lagi perlu jadi deposit selamat Barisan Nasional (BN) yang membolehkan mereka terus berkuasa, kata Presiden Warisan Shafie Apdal kepada hampir 10,000 orang di Ceramah Perdana Parti Warisan Sabah yang di adakan di Kapayan Boulevard, Kota Kinabalu malam semalam.

“Kita tak perlu lagi jadi deposit selamat kepada sesiapa. Sudah tiba masanya untuk kita berfikir dan menentukan nasib kita sendiri, dan menuntut kembali hak kita yang diambil sejak 1963,” kata Shafie disambut sorakan hadirin.

Shafie merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani pemimpin Sabah bagi membentuk Malaysia 54 tahun lepas.

Sejak 1973 lagi, kerajaan persekutuan berhenti membayar 40% hasil perolehan kepada Sabah walaupun pembayaran itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan persekutuan juga gagal melakukan semakan semula geran setiap lima tahun seperti mana termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan.

Kegagalan kerajaan Barisan Nasional menghormati hak istimewa Sabah menyebabkan penduduk Sabah terus hidup dalam kemiskinan walaupun negeri kaya dengan pelbagai sumber alam seperti minyak dan gas, balak dan perladangan, kata Shafie.

Menurut aktivis MA63, Zainal Ajamain, kesedaran tentang MA63 dalam kalangan penduduk Sabah semakin tinggi sejak PRU13 dan boleh menjadi punca kejatuhan BN kali ini.

Lebih sejuta penduduk Sabah akan mengundi pada 9 Mei ini.

“Jika tuan puan mahu kata ada tsunami Cina pada pilihan raya 2013, tsunami kali ini pula akan melibatkan semua kaum dan saya percaya ia bukanlah kerana penglibatan Bumiputera Islam Sabah atau kadazandusun, tetapi sebab MA63,” katanya.

Tetapi satu perkara yang masih dalam persoalan adalah penerimaan penduduk Sabah kepada Dr Mahathir Mohamad yang kini menerajui pembangkang nasional, Pakatan Harapan. Dr Mahathir dianggap dalang “Projek IC” yang menyebabkan masalah pendatang asing di Sabah sehingga sekarang.

Shafie berkata tidak wujud rancangan membawa Dr Mahathir ke Sabah buat masa sekarang.

“Kami mahu Dr Mahathir datang. Tetapi kami mahu dia beri tumpuan di mana dia kuat. Kam sudah berbincang (mengenai kedatangnya ke Sabah) dengan panjang lebar.

“Tetapi buat masa sekarang adalah kami (Warisan) jatuhkan Barisan Nasional (BN) di sini (Sabah), dan dia jatuhkan mereka di Kuala Lumpur, di mana jumlah kerusi Parlimen lebih banyak berbanding Sabah,” katanya. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen