BERSIH 2.0 menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa melakukan “10 jenayah serius” terhadap pengundi dan menggesa mereka untuk memakai baju kuning sebagai tanda protes.
Dalam laporan awal yang dikeluarkan hari ini, pemangku pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari berkata SPR “gagal mendapatkan keyakinan masyarakat awam dalam menguruskan proses dan sistem pilihan raya”.
Beliau menamakan pengerusi SPR Mohad Hashim Abdullah dan enam lagi pegawai kanan suruhanjaya itu yang “melakukan 10 jenayah serius terhadap pengudi di Malaysia, dan dengan berbuat demikian, telah mencemarkan integriti Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).”
10 jenayah itu adalah gerrymandering, salah pembahagian (malapportionment) dan penyalahgunaan proses persempadanan semula; gagal membersihkan daftar pemilih dan menghalang pengundi hantu; gagal mendaftarkan pengundi yang layak; menetapkan hari mengundi pada Rabu; dan menetapkan 11 hari tempoh berkempen.
Mereka turut menyebabkan calon hilang kelayakan dengan sewenangnya dan menghalang penamaan calon; gagal mengambil tindakan terhadap salah laku pilihan raya; membuat peraturan pilihan raya tidak munasabah dan sewenangnya; penyelewengan undi awal dan undi pos; gagal membenarkan pemerhati pilihan raya.
Shahrul pada sidang media hari ini bagaimanapun berkata, pengundi masih memainkan peranan penting: “Penipuan dan manipulasi pilihan raya hanya boleh diatasi sekiranya kamu dan semua rakyat Malaysia keluar mengundi sebagaimana yang kita lakukan pada 2008 dan 2013.”
“Sebagai tanda protes dan solidariti, Bersih 2.0 juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk memakai baju kuning. mengikat riben kuning dan warnakan laman Facebook kuning selama dua hari sebelum hari mengundi iaitu pada 7 dan 8 Mei,” katanya di pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya hari ini.
Minggu lalu, Bersih membangkitkan 10 penyelewengan utama yang didakwa memberi kesan kepada ratusan ribu pengundi di seluruh negara.
Mereka termasuklah kes 500,000 pengundi yang didaftarkan di bawah alamat yang sama dan dua juta pengundi beralamat sama.
Bersih turut mendapati terdapat beberapa kes yang mana pengundi yang telah meninggal dunia didaftarkan semula, dan seorang pengundi yang didaftarkan dengan tarikh lahir pada 1897.
Dalam laporan yang didedahkan hari ini, Bersih menyatakan SPR telah menyalahgunakan proses persempadanan semula dnegan menjadikan malapportionment lebih teruk dengan mewujudkan kawasan pilihan raya yang besar dan mengumpulkan penyokong pembangkang di satu kawasan, sekaligus melanggar prinsip “satu orang satu undi”.
Bersih membuat kesimpulan bahawa gerrymandering dan malapportionment berpihak ini akan “memindahkan secara tidak adil kira-kira 15 kawasan Parlimen memihak kepada Barisan Nasional.” – 6 Mei, 2018.
Komen