PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad hari ini dihalang dari mengunjungi pusara ulama terkemuka PAS Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Difahamkan, keluarga Allahyarham menutup pintu pagar kawasan perkuburan tersebut sebelum ketibaan Dr Mahathir.
Dr Mahathir tiba di Kelantan hari ini dalam pusingan terakhir kempen pilihan raya umum ke-14, yang hanya berbaki dua hari.
Beliau ketika ditemui di Ketereh bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata beliau “hanya melalui kawasan tanah perkuburan di Pulau Melaka”.
“Saya tidak mahu politikkan lawatan ini. Semalam saya melawat kubur (bekas presiden PAS) Fadzil Noor (di Kedah). Beliau kawan lama saya sebelum sertai PAS.”
Dr Mahathir, 93 berkata beliau merancang untuk melawat kubur Nik Aziz selepas pilihan raya.
Anggota keluarga Nik Aziz itu bertindak demikian susulan tindakan anak lelaki sulung allahyarham menyertai Pakatan Harapan dan bertanding menentang PAS untuk menguasai Kelantan.
Tindakan Nik Omar itu menimbulkan keretakan dalam keluarga berpengaruh itu. Ulama muda itu juga didakwa mengkhianati perjuangan dan legasi bapa mereka.
Kunjungan Dr Mahathir itu merupakan salah satu usaha untuk mengalihkan sokongan pengikut PAS kepada PH untuk merampas Kelantan.
PAS menguasai negeri itu sejak 28 tahun lalu namun kini semakin kuat diasak BN dan PH dalam pertandingan merebut 45 kerusi negeri.
Dr Mahathir dijadualkan untuk berucap kepada pengundi di Kok Lanas, Ketereh dan juga Tanjung Mas di Kota Baru. – 6 Mei, 2018.
Komen