ORANG Melayu tidak perlu takut kepada parti majoriti Cina, DAP, kata bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin.
Tokoh berusia 80 tahun itu menggemparkan arena politik negara apabila secara terbuka berkempen untuk Pakatan Harapan (PH), mengatakan empat parti komponen gabungan pembangkang adalah rakan sama rata tidak seperti parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Kita ada Amanah, Keadilan (PKR), DAP dan Bersatu, 25%. Maknanya, dia ada suara, dia boleh membantah dan ini demokrasi, ini patutnya kita galakkan, supaya orang boleh bersuara, bagi pandangan untuk mencapai uniti (perpaduan).
“Kita tak mahu dasar yang mengenepikan orang, kita perlu dasar untuk semua orang dan ambil kepentingan tiap-tiap kaum. Jadi jangan takut (kepada DAP),” katanya dalam satu wawancara dengan Apa Khabar TV yang dimuat naik ke Facebook.
Katanya, DAP adalah parti pelbagai kaum menafikan dakwaan yang parti itu parti Cina seperti MCA dalam BN.
“Mereka terima (kedudukan) Bahasa Melayu, Islam, Raja-Raja dalam Perlembagaan (Persekutuan), mereka terima semua,” katanya.
Daim bersama-sama seorang lagi bekas menteri Rafidah Aziz dipecat daripada Umno semalam kerana menyokong pembangkang. Seorang lagi veteran Umno Rais Yatim sedang disiasat.
Tiga pemimpin utama orang Melayu itu lantang bersuara mengkritik Umno dan kerajaan Najib Razak, tetapi hanya Daim dan Rafidah setakat ini secara terbuka berkempen untuk pembangkang menentang BN.
Kedua-dua mereka menyertai bekas ketua mereka yang kini jadi calon perdana menteri pembangkang, Dr Mahathir Mohamad buat julung kalinya di Melaka Jumaat lepas. – 6 Mei, 2018.
Komen