TIDAK seperti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai dana besar dan sumber banyak, parti pembangkang mempunyai kekurangan dalam aspek itu menyebabkan mereka bergantung kepada kuasa sukarela bagi memastikan jentera pilihan raya mereka berfungsi.
Parti seperti DAP dan PKR yang meletakkan ramai anak muda sebagai calon berjaya menarik kumpulan anak muda bekerja di bandar untuk bertindak sebagai sukarelawan untuk pelbagai tugas daripada menaikkan bendera atau bertugas sebagai ejen tempat mengundi ejen mengira undi (Paca).
Melakukan latihan amali di bawah ahli politik pembangkang juga semakin menjadi pilihan pasca PRU2008, selepas calon pertama kali yang menang seperti Tony Pua dan Hannah Yeoh mula mengambil pelajar amali untuk membantu perkhidmatan di kawasan mereka.
“Saya percaya ia lebih sekadar kerja sukarela, saya rasa ia sesuatu yang menarik untuk membantu dalam pilihan raya umum,” kata Carine Cheong Kay Wei, 22.
Dia yang baru menyempurnakan Sijil Amalan Guaman (CLP) berkata tugas mudah seperti membawa bendera dan menjaga kaunter membuatkan dia gembira tentang Malaysia.
“Awal bulan ini saya mula membantu (calon Pakatan Harapan di Segambut) Hannah Yeoh di pejabatnya di Subang Jaya dan sebulan kemudian pilihan raya umum diumumkan.”
Ditanya pandangannya yang kerja sukarela mungkin menjejaskan peluangnya mendapatkan peluang pekerjaan lain di masa hadapan, dia mengatakan dia tidak kisah.
“Saya risau juga yang ia akan menjejaskan permohonan chambering saya kerana ada rakan kongsi firma guaman yang menyokong Barisan Nasional.
“Tetapi saya terfikir yang saya juga tak mahu bekerja di tempat yang menyalahkan saya kerana pendirian politik saya,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Boh Zhuang Yui, 25, berkata ahli politik PH kelihatan lebih banyak mengiklankan sukarelawan dan pelajar amali di bawah mereka berbanding parti BN.
Katanya lagi, kesukarelawan memberikan dia rasa kebersamaan kerana terlibat sama dalam membentuk masa depan Malaysia serta peluang berjumpa orang baharu.
“Ia jaringan sosial yang bagus, dan tahu yang kita bekerja dengan niat baik yang bersama-sama,” katanya yang bersama dengan sebuah parti PH.
Dia juga merasakan sukarelawan mendidiknya tentang haknya sebagai rakyat serta belajar berurusan dengan pelbagai jenis orang.
“Bila saya tolong dalam sesi lawatan, saya belajar tentang toleransi kerana bukan semua orang mengalu-alukan awak,” katanya.
Bagi Amrul Othman, 23, pula keputusan untuk menjadi sukarelawan Paca adalah sebagai pendorong kepada rakan-rakannya yang lain supaya terlibat lebih aktif dalam peristiwa negara dan politik.
“Saya minta kawan saya untuk tolong dan jadi sukarelawan tapi mereka tak mahu, tetapi bila mereka tengok saya sertai dan ia menarik, mereka turut serta,” katanya.
Amirul yang baru menamatkan pengajian dalam bidang perakuanan mengatakan dia mahu menggunakan kemahirannya membantu pengiraan undi. – 6 Mei, 2018.
Komen