PENOREH getah di kawasan Parlimen Padang Terap dan Padang Sena, Kedah mengharapkan Pakatan Harapan (PH) membantu mereka menstabilkan semula harga komoditi itu.
Harga komoditi itu jatuh mendadak sehingga mencecah RM2 sekilo menurut penoreh getah yang ditemui. Situasi itu menambah beban kepada kehidupan mereka yang sudah sedia terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
“Sekarang ini getah cuma RM2 sekilo kalau seminggu itu adalah kita cuma dapat RM200 je,” kata Ahmad Ismail, 53.
Penoreh getah yang tinggal di Kampung Bukit itu ditemui dalam program ramah mesra pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada bersama Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad semalam.
Hujan yang turun semalam juga tidak menghalang lebih seribu orang hadir bertemu Dr Mahathir di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Harapan mereka meningkat selepas bekas perdana menteri itu berjanji akan berusaha menstabilkan harga getah jika pembangkang menakluk Putrajaya.
“Jika Pakatan Harapan kita akan stabilkan harga getah semula,” katanya disambut tepukan gemuruh.
Siti Baiah Mat Arshad, 56, pula berkata hasil pendapatan menoreh getah semata-mata tidak lagi dapat menyara kehidupan mereka sekeluarga.
“Dulu kalau seminggu dapat RM600- RM700 tapi sekarang cuma RM200 - RM300 sebulan.
“Kalau sara anak dua orang memang tak mampu nasib baik suami ada pencen RM500 bolehlah tampung sikit,” katanya.
Siti Baiah yang tinggal di Kampung Bukit Pinang turut mengakui yang dia sentiasa di belakang Dr Mahathir malah turut menyokong penubuhan Bersatu.
“Dulu dalam Umno saya sokong Dr Mahathir, bila dia keluar saya pun sokong Bersatu sejak daripada penubuhan parti itu,” katanya yang menawarkan rumahnya sebagai markas gerakan PH.
Dia turut mengulas mengenai kemarahan rakyat disebabkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkannya mengurangkan kuasa beli pengguna.
“Memang rakyat tengah marah. Mereka banyak mengadu pasal GST. Kalau dulu sekerap (getah) RM30 bolehlah kita beli beras ikan tapi sekarang RM30 cuma dapat beli ikan je beras tak dapat.” – 6 Mei, 2018.
Komen