AGC tarik balik rayuan pembebasan Shafee


Muhammad Shafee Abdullah berdepan empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2023.

JABATAN Peguam Negara (AGC) membatalkan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan dan membebaskan peguam Muhammad Shafee Abdullah daripada pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shafee & Co, bagi pihak Shafee berkata rayuan di Mahkamah Rayuan itu dianggap ditolak di bawah Peraturan 73 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

“Keputusan peguam negara/pendakwa raya bukan sahaja menggunakan budi bicara tanpa rasa takut atau pilih kasih, tetapi menyokong sifat boleh dicabar keputusan Mahkamah Tinggi.

“Hakim terpelajar mendapati dalam kedua-dua fakta dan undang-undang bahawa tidak ada unsur kesalahan predikat (iaitu aktiviti menyalahi undang-undang), untuk menimbulkan pertuduhan pengubahan wang haram dan dengan itu membebaskannya daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil pembelaannya.”

Ia membawa kepada pembebasan Shafee ke atas keempat-empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Shafee didakwa pada 2018 kerana menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib, ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – 5 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen