Warga TTDI sokong Hannah Yeoh di kerusi Segambut 


The Malaysian Insight

HUJAN sebelum itu menyebabkan kawasan ceramah menjadi becak. Namun ia tidak menghalang ribuan rakyat di Taman Tun Dr Ismail untuk hadir malam tadi bagi mendengar calon Pakatan Harapan bagi kerusi Segambut, Hannah Yeoh janjikan sekiranya beliau dipilih.

Ceramah malam tadi turut membariskan beberapa pemimpin wanita, termasuk bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz, bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan dan anak kepada mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo.

Sangeet yang memulakan ceramah, menyentuh mengenai kegagalan kerajaan BN terutamanya dalam pendidikan. Beliau mengetengahkan isu berhubung prestasi yang tidak memberangsangkan dalam ranking PISA global.

“Tidak kira kamu Melayu, Cina atau India. Selagi kamu rakyat Malaysia, kamu layak untuk mendapatkan pendidikan bertaraf dunia sebagaimana yang dijanjikan,” katanya diikuti sorakan hadirin.

Rafidah, meneruskan ucapan bertemakan kegagalan pengurusan menghancurkan negara, dan menggesa hadirin untuk tamatkan “kontrak” BN pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Sangat penting untuk mengetahui kuasa kamu sebagai rakyat. Ia adalah kuasa untuk kamu memilih kerajaan,” katanya.

Beliau yang merupakan bekas ahli Umno berkata amat penting untuk memahami bahawa pengundi tidak memilih Hannah Yeoh ke Parlimen tetapi mereka mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga berkata, Putrajaya telah “merompak” rakyat Malaysia yang  membuat perubahan pada du apilihan raya lalu tetapi kini tiba masanya untuk mengubah semula.

“Kita tidak boleh bertahan lagi. Kita tiada pilihan. Mereka bukan sahaja merompak duit kita. Mereka rompak masa depan kita.

Ambiga yang tinggal di Segambut merupakan pencadang Yeoh dan berkata bekas speaker dewan Selangor itu sesuai memegang jawatan berkenaan.

“Saya merupakan pencadang beliau, Ia adalah satu penghormatan untuk menjadi pencadang Hannah. Sudah pasti saya cadangkan Hannah. Saya tiada keraguan,” katanya diikuti tepukan gemuruh daripada hadirin.

Hannah Yeoh yang merupakan penceramah terakhir malam tadi, menyentuh mengenai isu Taman Rimba Kiara.

Sekiranya dipilih katanya, beliau berjanji untuk menyelamatkan kawasan hijau penduduk Segambut.

“Sekiranya kamu tidak bentuk kerajaan baru di Putrajaya, saya bimbang Bukit Kiara akan hilang.

“Jadi, ini janji saya kepada kamu penduduk Segambut. Sekiranya saya diberi mandat untuk mewakili kamu di Parlimen, saya akan perjuangkan Bukit Kiara untuk digazetkan,” katanya.

Beliau turut menafikan “melarikan diri” daripada kerusi DUN Subang Jaya, dan menambah beliau boleh membawa perubahan lebih besar jika berada di Parlimen.

“Saya sendiri menyertai politik atas dua sebab, iaitu untuk membanteras rasuah dan menentang dasar berasaskan kaum.”

Hannah Yeoh berdepan timbalan menteri wilayah sementara Loga Bala Mohan (Barisan Nasional) dan Mohd Soleh Abd Razak (PAS). – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen