HARGA emas mencecah rekod tertinggi pada Isnin susulan keyakinan yang semakin tinggi bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kadar faedah tahun depan.
Harga logam berharga itu, yang dilihat sebagai pelaburan selamat, mencapai kemuncak sepanjang zaman pada AS$$2,135.39 seauns pada satu ketika pada Isnin, dengan nilai dolar AS juga lebih mengukuh.
Emas mendapat manfaat daripada perang Israel-Hamas, menurut penganalisis.
“Kebimbangan terhadap latar belakang ekonomi global yang goyah dan konflik Israel-Hamas mendorong permintaan pelabur ke atas aset selamat seperti emas.
“Selain itu, jangkaan terhadap pemotongan kadar Fed tahun depan memberi tekanan kepada dolar AS, yang didagangkan sekitar paras terendah tiga bulan, menambah daya tarikan emas,” kata ketua pelaburan di Interactive Investor, Victoria Scholar.
Sementara itu, bitcoin didagangkan melebihi paras AS$40,000 buat kali pertama sejak Mei 2022, dirangsang oleh harapan bahawa AS tidak lama lagi akan membenarkan perdagangan yang lebih meluas mata wang kripto terbesar dunia itu. – AFP, 5 Disember, 2023.
Komen