Saya jadi tegas kerana ketidakadilan berlaku, kata Mukhriz


The Malaysian Insight

TIMBALAN Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir menafikan dakwaan Menteri Besar sementara Ahmad Bahsah Md Hanifah yang beliau kini suka mencerca dan tidak lagi “lemah lembut” sejak menyertai pembangkang.

Calon Parlimen Jerlun itu berkata beliau tidak mencerca tetapi bersikap tegas terhadap Bashah kerana dikhianati ketika peralihan kuasa menteri besar Kedah dahulu. Mukhriz disingkirkan sebagai menteri besar Kedah selepas Umno Kedah yang diterajui Bashah “hilang kepercayaan” kepadanya atas alasan sering “menghabiskan masa di Kuala Lumpur dan sukar ditemui di Kedah”.

“Pertamanya saya tak pernah mengaku saya lemah lembut, tapi saya diajar bonda untuk sopan santun

“Dan sopan santun ini boleh bertukar menjadi tegas. Bila orang buat kita, kita kena beri reaksi, kena tegas bila ketidakadilan berlaku,” katanya pada ceramah Pakatan Harapan (PH) di Padang Sera, Kedah malam tadi.

Di hadapan kira- kira 5,000 orang yang datang, beliau turut membidas dakyah Barisan Nasional (BN) kononnya PH akan membiarkan wakil rakyat DAP menjadi perdana menteri.

Katanya, mustahil PH akan membiarkan wakil rakyat DAP menjadi perdana menteri kerana ia memerlukan majoriti dua pertiga daripada ahli Parlimen seperti mana digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika dapat dua pertiga pun tapi masih perlu kebenaran daripada raja- raja Melayu. Jadi tidak mungkin DAP boleh menjadi perdana menteri.

“Saya beri jaminan PH akan melindungi hak keistimewaan orang Melayu, (ia) tidak akan dihapuskan,” katanya disahut tepukan gemuruh hadirin.

Ceramah malam tadi turut dihadiri Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad yang berucap hampir sejam walaupun negarawan itu kelihatan penat.

“Saya melihat di beberapa tempat yang kita pergi begitu ramai yang turun, semacam ada gelombang kebangkitan rakyat.

“Dan saya boleh jamin gelombang ini yang akan mengundi PH,” katanya yang juga bertanding di kerusi Parlimen Langkawi itu. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen