Agenda Melayu-Islam dimainkan PAS faktor menang pilihan raya, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Calon PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar mendapat 70% undi pada PRK Kemaman. – Gambar Facebook, 5 Disember, 2023.

NARATIF konservatif PAS menarik perhatian pengundi muda dan ia percaya bank undi ini mampu menyokong agenda Melayu-Islam parti bagi dekad akan datang, kata penganalisis.

Mereka berkata demikian selepas kemenangan besar parti itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Kemaman pada hujung minggu yang menyaksikan Ahmad Samsuri Mokhtar menewaskan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada Barisan Nasional (BN).

Menteri besar Terengganu itu menang dengan majoriti lebih besar berbanding kemenangan awal parti pada pilihan raya umum (PRU) tahun lepas. Samsuri memperoleh 64,998 undi dan Raja Mohamed Affandi 27,778 undi.

Pembahagian undian sebanyak 70.1% adalah peningkatan ketara berbanding 58.11% Perikatan Nasional (PN) yang diperoleh pada pilihan raya tahun lepas.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berkata PAS melakukan beberapa langkah strategik selepas PRU14 pada 2018, termasuk bekerjasama dengan Umno untuk membentuk Muafakat Nasional.

Tambahnya, PAS juga mampu memenangi minda pengundi muda khususnya di Pantai Timur serta di Kedah dan Perlis dengan agenda Melayu-Islam mereka.

“Pada PRU14, PAS ketinggalan di belakang Pakatan Harapan (PH) dan BN tetapi apabila kalah, mereka meminta kerjasama Umno.

“Selepas mengambil langkah berani dengan meninggalkan Umno untuk bekerjasama dengan Bersatu dan itulah titik perubahannya. Mereka mendapat kepercayaan orang Melayu yang mahu melihat kuasa Melayu-Islam yang kuat.

“Pengundi Melayu muda menerima naratif ini dan ini terbukti di Kemaman, apabila PAS berjaya mendapat sokongan pengundi Umno. Mereka yang mengundi Umno pada PRU lalu kali ini menyokong PN, termasuk pengundi muda.

“Terdapat peralihan undi daripada Umno kepada PAS di Kemaman dan itulah sebabnya kita melihat PAS menang dengan majoriti lebih besar berbanding pertembungan terakhir mereka pada 2022,” katanya.

Sentimen Hisommudin itu disokong oleh ahli akademik kanan Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali, yang berkata Umno tidak mampu memenangi kepercayaan pengundi muda Melayu.

Beliau berkata naratif yang dimainkan oleh PN pada PRU sebelum ini menjejaskan pengundi Melayu-Islam.

“PAS habis-habisan dengan agenda sayap kanan Melayu-Islam mereka. Pengundi muda yang kurang memahami politik bersetuju dengan naratif ini. Bukan sahaja di Pantai Timur malah di negeri maju seperti Selangor. PN memenangi kerusi majoriti Melayu.

“Ramai juga ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ di media sosial bercakap mengenai LGBT, menjalani gaya hidup hedonistik dan menghadiri konsert; ini semua isu sensitif pengundi Melayu.

“Sebab itu PAS terus mendapat sokongan pengundi Melayu-Islam, sehingga mengaibkan kerajaan perpaduan dalam PRK Kemaman,” kata Mazlan.

Tambahnya, PAS akan menikmati sokongan selama lima hingga 10 tahun lagi kerana kerajaan perpaduan tidak mempunyai pengaruh di Pantai Timur.

“Pengundi Umno beralih kepada PAS kerana mereka tidak boleh menerima DAP. Ini akan berterusan selama 10 tahun lagi.

“Banyak yang perlu dilakukan oleh BN-PH. Mereka tidak mempunyai tapak di Kelantan dan Terengganu, Kedah dan Perlis. Mereka mungkin memerlukan bertahun-tahun lamanya untuk menyainginya,” kata Mazlan.

Anwar perlu bimbang

Hisommudin bersetuju kerajaan perpaduan gagal memenangi undi Melayu dan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri harus bimbang.

“Ini petanda pengundi menolak BN dan Umno.

“PH masih belum meyakinkan pengundi Melayu berhubung konsep kerajaan perpaduan.

“Ini sepatutnya membimbangkan kerajaan kerana mereka tidak boleh mempengaruhi atau meyakinkan orang Melayu,” katanya.

Pada pilihan raya negeri Ogos, PN mengekalkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Ia juga menang beberapa kerusi majoriti Melayu di Selangor dan Johor.

Pakar sebelum ini berkata PAS dan Bersatu akan terus menerima sokongan pengundi Melayu kerana naratif sayap kanannya.

Pada Ahad, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata terdapat gelombang sokongan yang semakin meningkat kepada PN, berikutan kemenangan besar gabungan itu di Kemaman.

“Ini adalah referendum penolakan rakyat terhadap gabungan PH-BN pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan perpaduan tidak bimbang dengan kemenangan PAS pada PRK itu.

Malah, katanya kerajaan akan bekerja lebih keras untuk memastikan perkhidmatannya kepada rakyat Kemaman sampai. – 5 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen