BEKAS Menteri Kewangan Daim Zainuddin menggesa pengundi Cina tidak lagi mengundi MCA dan menamatkan riwayat parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.
Ketika berucap di hadapan pengundi Parlimen Ayer Hitam malam tadi, Daim berkata janji-janji MCA tidak boleh dipercayai kerana parti itu tidak berani bersuara dalam Kabinet.
“Saya harap rakyat Cina hari ini jangan bagi satu undi pun kepada MCA. MCA dalam pilihan raya lepas kata tidak mahu sertai Kabinet, ini janji dia tapi secara diam-diam dia masuk Kabinet, golongan ini tidak boleh dipercayai,” kata Daim di hadapan kira-kira 1,000 pengundi dalam ceramah mega Pakatan Harapan (PH) malam tadi.
“Pernah MCA soal kerajaan dalam isu 1MDB, pernah dia tanya pasal Jho Low tidak, sebaliknya dia kata Dr Mahathir itu kuda tua, dia kuda muda.
“Lebih baik ada orang tua yang boleh berfikir daripada MCA yang tidak boleh fikir. Kita perlukan rakyat yang boleh berfikir. Liew Chin Tong boleh berfikir,” katanya, merujuk kepada calon PH di kerusi tersebut.
Bagi kalangan pengundi Melayu, Daim berkata, mereka perlu menamatkan riwayat Umno kerana mengakibatkan institusi Melayu terpalit dengan skandal.
“Kita pilih Umno supaya bela orang Melayu, tapi harapkan pagar, pagar makan padi, ini golongan makan padi.
“Kita buat Felda, Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan Pekerja (KWSP) semua dia curi,” katanya.
Daim berkata, dasar kerajaan sepatutnya membela rakyat dan bukannya membela anggota Kabinet.
“Saya harap jangan lupa jangan lupa kepada kerajaan ini cakap kosong semata mata.
“Kita boleh buktikan, saya harap pada 9 Mei nanti keluar beramai-ramai dan undi PH biar kita ambil alih kerajaan pula, kita jadi kerajaan kita cari siapa pencuri-pencuri ini,” katanya lagi. – 6 Mei, 2018.
Komen